Wednesday, November 28, 2012

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO: NAJIB LARANG 3 PERKARA
 
Pemikiran ahli wajar dewasa, matang seiring usia parti
 
Jangan sabotaj, jangan rosakkan perpaduan dan jangan menongkah arus, ialah rumusan taklimat tertutup Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, petang semalam.

Sejam setengah dimanfaatkan sepenuhnya untuk memberi amanat setegas mungkin, sekali gus memanaskan semangat perwakilan sebelum bermulanya ‘silat’ Perhimpunan Agung UMNO Ke-66, esok.

Sebagai Presiden yang bakal mengemudi bala tenteranya memasuki gelanggang getir Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Najib mempunyai segala sebab untuk melahirkan kebimbangannya terhadap kehadiran puak ‘gunting dalam lipatan’ yang boleh meranapkan impiannya mendapat mandat diharapkan.

Persoalannya apakah perwakilan berkongsi kebimbangan yang sama? Atau mungkinkah gunting dicari ada di celah ribuan hadirin, ghairah menajamkan mata sebelum mengatur langkah seterusnya?

Berbekalkan suasana semangat 66 tahun UMNO hadir sebagai wadah paling dominan dalam perjuangan membela orang Melayu, pemikiran ahlinya wajar dewasa dan matang seiring usia.

Ikut arahan Presiden

Menyelusuri langkah perjuangan pemimpin parti terdahulu, semuanya bergerak dalam lingkungan matlamat yang sama iaitu perjuangan membela nasib agama, bangsa dan negara mesti membawa bersama keikhlasan sebagai asasnya.

Dalam dunia sempurna, peringatan itu tidak perlu diulangi. Dalam dunia sempurna, ahli akan mengikut apa saja arahan pucuk pimpinan parti. Dalam dunia sempurna, kesetiaan ahli terhadap UMNO tidak harus diragui. Bagaimanapun, Najib memimpin kira-kira 3.2 juta ahli UMNO dalam dunia nyata yang dipenuhi kepelbagaian kemahuan, desakan dan cabaran.

Di sebalik usia matangnya, UMNO masih memiliki kelompok ahli yang lebih mengutamakan resah, rajuk dan amarah sendiri hanya kerana kehendak tidak ditunaikan.

Walaupun tiada ‘tender terbuka’, Najib dikhabarkan kerap menerima permohonan si polan menjadi calon pilihan raya. 

Baginya, itu perkara biasa tetapi apa yang lebih membimbangkan ialah kehadiran surat daripada bahagian diwakili si polan supaya permohonannya tidak dipertimbangkan.

Sabotaj seperti itu saja sudah cukup merumitkan keadaan kerana paling tidak, ia pasti menyukarkan pucuk pimpinan mencari calon yang benar-benar boleh menjamin kemenangan tanpa membuka ruang percakaran.

UMNO teguh seperti diharap

Namun, Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Datuk Shamsuddin Yahya, yakin rumah UMNO akan teguh seperti diharapkan apabila tiba masanya menghadapi lawan di peti undi.

Perwakilan UMNO pula perlu menguasai pentas Perhimpunan Agung UMNO kali ini dengan hujah dan pandangan bernas untuk meyakinkan Najib bahawa rumah yang dibina atas nama perjuangan ini masih kukuh untuk melawan gelora, baik dari luar mahu pun badai dalaman.

Perlumbaan semakin hampir ke garisan penamat. Sudah tiba masanya segala keresahan yang melingkari UMNO dan pemimpin utamanya diakhiri dengan janji. Janji, seperti lazimnya adalah untuk ditepati. -BHarian

No comments:

Post a Comment