Wednesday, November 28, 2012

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO: BAHANA BESAR IDEOLOGI SONGSANG

Muhyiddin ajak rakyat bersama UMNO pertahan nilai murni yang cuba dinoda pembangkang

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat bangkit menentang bahana besar ideologi songsang pembangkang yang merungkai asas-asas agama, mencabar maruah bangsa dan mengancam kedaulatan negara.

Timbalan Presiden UMNO itu menjelaskan inilah sisi hodoh ideologi demokrasi dan kebebasan pakatan pembangkang yang merungkai asas-asas agama Islam yang terpahat kukuh di dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Di peringkat antarabangsa, katanya, muncul kumpulan yang memperjuangkan ideologi songsang berteraskan pemikiran sekular liberal yang bertentangan dengan agama.

“Tidak pernah ada pemimpin Islam yang tergamak bersuara menghalalkan gaya hidup songsang dan murtad.

Tetapi, hari ini, atas sebab ingin meraih undi dan merebut kuasa, lantaran angan-angan mahu ke Putrajaya, semuanya boleh saja,” katanya pada perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, di sini, malam tadi.

“Jangan biarkan mereka merungkai asas agama kita. Kita yakin rakyat akan terus bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempertahankan nilai murni yang cuba dinoda oleh pembangkang.

“Sejak akhir-akhir ini pandangan Ketua Pembangkang agak bercelaru. Satu ketika beliau tanpa segan dan silu mengeluarkan kenyataan bahawa undang-undang jenayah di negara kita yang menghalang perlakuan liwat adalah satu undang-undang yang kolot.

Perbuatan terkutuk

"Adakah Ketua Pembangkang hendak mengatakan bahawa hukum Allah juga kolot sedangkan kita semua tahu bahawa perbuatan terkutuk itu ditegah oleh Islam dan agama lain.

“Janganlah kerana pelakuan songsang ini dibenarkan di barat dan diterima sebagai hak asasi manusia oleh mereka, maka dia pun turut hendak menghalalkannya,” katanya.

Dalam ucapan bertajuk ‘Bersama Melakar Kemenangan’ itu, Muhyiddin berkata seorang Naib Presiden PKR pula baru-baru ini mendakwa atas nama kesamarataan hak, orang Melayu yang beragama Islam wajar diberikan kebebasan beragama seperti penganut agama lain.

Beliau berkata, banyak kerajaan menerima tekanan supaya mengiktiraf hak golongan songsang untuk melakukan perkara yang ditegah oleh agama.

UMNO tidak boleh alpa

Katanya, atas nama politik baru, politik pembebasan, politik global dan politik kuasa ketiga, hak dan kebebasan individu, ideologi itu mahu dibawa ke negara ini untuk meraih undi.

Justeru, katanya, UMNO sebagai parti yang berjuang menegak dan mendaulatkan Islam tidak boleh alpa, sebaliknya perlu menjadi benteng mempertahankan masyarakat daripada diasak oleh ideologi pembangkang kerana ia amat berbahaya jika meresapi masyarakat, khususnya kanak-kanak. -BHarian


No comments:

Post a Comment