Wednesday, November 28, 2012

KERTAS PUTIH GAGAL TUTUP SKANDAL HUTANG TALAM

KUALA LUMPUR: Kertas putih penstrukturan hutang Talam Corporation Bhd (TALAM) gagal menutup skandal, sebaliknya bertujuan menyelamatkan syarikat itu.

Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong, berkata kertas putih ‘kelabu’ itu juga jelas menunjukkan pembohongan kerajaan Selangor sebelum ini yang mendakwa tiada duit rakyat digunakan berhubung isu berkenaan.

“Selepas perjanjian penyelesaian hutang ditandatangani, kerajaan Selangor pula berhutang RM30 juta kepada TALAM. Mengapa membeli aset melebihi keperluan sehingga berhutang dengannya sedangkan sebelum ini mahu mengutip semula hutang itu?

Tipu rakyat

“Ia terbukti satu tindakan menyelamat yang mana akhirnya rakyat ditipu, manakala syarikat kerajaan negeri menderita,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini, semalam.

Minggu lalu, kerajaan Selangor membentangkan kertas putih penstrukturan hutang TALAM selepas didakwa terbabit dalam skandal urus niaga lebih RM1 bilion sedangkan hutang syarikat itu hanya berjumlah RM392 juta.

Tee Yong yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata kertas putih itu sepatutnya mengandungi transaksi terperinci namun gagal berbuat demikian dengan hanya memasukkan maklumat sudah diketahui umum.

“Kertas putih itu juga tiada penjelasan bagaimana RM266 juta diperoleh untuk membayar kepada pembiaya TALAM bagi aset tanah yang digadaikan syarikat itu.

“Selain itu, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) terpaksa membuat pinjaman RM230 juta dengan kos faedah RM86 juta, manakala kos KPMG Transaction & Restructuring Sdn Bhd (KPMG) dan penilai swasta tidak dinyatakan,” katanya, di sini, semalam. -BHarian

No comments:

Post a Comment