Wednesday, July 4, 2012

KERAJAAN HARUS ADA USAHA TARIK PENGUNDI CINA – PENGANALISIS POLITIK

SHAH ALAM -  Penganalisis politik bersetuju dengan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan pengaruh pengundi kaum Cina akan menjadi penentu besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Mohd Azizuddin Mohd Sanim dari Universiti Utara Malaysia melihat kenyataan Dr Mahathir itu sebagai satu perkara benar kerana keadaan kaum Melayu telah lama berpecah kepada dua sentimen, masing-masing membawa haluan sendiri.

Azizuddin berkata, pengundi Cina memang dilihat boleh menentukan kemenangan Barisan Nasional (BN) untuk terus mengemudi sistem pemerintahan negara pada pilihan raya musim ini.

Azizuddin berkata, walaupun kaum Cina dilihat lebih memilih kepada pemerintah mengikut kaumnya, namun sepanjang Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, undian kaum Cina lebih dibuat mengikut parti yang disokong.

Katanya lagi, kerajaan sekarang perlu menitikberatkan soal bahasa, kebudayaan dan pendidikan untuk terus memberi keyakinan kepada kaum Cina dan menarik penglibatan mereka dalam memberi undi kepada BN.

Sementara itu,  Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, keputusan PRU 2008 antara penyebab kemerosotan undi kaum Cina pada BN yang puratanya hanya 25 peratus hingga 30 peratus yang ditunjukkan dalam kajian masyarakat Cina menyokong BN pada PRU lepas dan dilihat masih kekal.

Beliau juga berkata, hal tersebut jelas menunjukkan kerisauan kepada BN untuk menarik lebih ramai pengundi golongan Cina dan perkara ini memberi cabaran besar bagi kerajaan.

Samsul berkata, kempen yang dilancarkan parti pembangkang iaitu DAP lebih berkesan dan dilihat memberi kelebihan kepada kaum itu serta sekali gus menyerapkan kepercayaan kepada golongan tersebut.

Namun begitu, Samsul berkata, pengundi dinasihatkan lebih bersikap realistik dan bukan mengharapkan pada janji-janji yang ditaburkan parti politik untuk menang dalam PRU sahaja.


KD: Bukan sahaja kaum Melayu, rupanya kaum Cina juga berpecah belah.. Semuanya gara-gara politik. Mungkin rakyat perlu berubah, menjadikan politik sebagai pusat penyatuan, sekaligus menaikkan gagasan Negara Bangsa Malaysia!!

No comments:

Post a Comment