Wednesday, July 4, 2012

PAS ROMPIN IMPI KERUSI PARLIMEN, DUN

KUALA ROMPIN - Pas Kawasan Rompin memasang harapan menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke- 13 (PRU-13) walaupun mengakui parti itu berdepan cabaran getir untuk merampas kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) di kawasan berkenaan.

Yang Dipertuanya, Shukri Ahmad berkata, dalam keadaan senario politik pada masa kini, BN diyakini semakin terdesak untuk mempertahankan satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dun yang dimenangi mereka dalam PRU lalu. Menurutnya, walaupun beliau mengakui bahawa Rompin merupakan kubu kuat BN, namun beliau yakin bahawa Pas atau Pakatan Rakyat (PR) berpotensi untuk menang berdasarkan pertambahan sokongan pengundi di kawasan itu.

Beliau percaya dan yakin dengan suasana perubahan masyarakat khususnya di kawasan Felda dan undi generasi kedua akan membolehkan Pas menang di Rompin. Malah katanya, Pas juga sudah menyediakan calon baru yang boleh menang untuk menewaskan mana-mana saja calon BN terutama jika penyandangnya, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis bertanding di Parlimen itu. Beliau turut memberi bayangan calon Pas yang akan bertanding dalam PRU-13 adalah seorang calon yang diterima rakyat, dikenali, berpendidikan tinggi selain disenangi masyarakat setempat.

Berdasarkan situasi Rompin ketika ini, kekayaan hasil di bumi Rompin seperti hasil bijih besi di Bukit Ibam, misalnya hanya memberi manfaat kepada orang luar, manakala rakyat tempatan pula diibaratkan seperti ‘mengemis di bumi sendiri’.

Disebabkan itu, jika Pas diberi mandat oleh rakyat dalam PRU akan datang, parti itu akan sedia menawarkan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan kepada generasi muda yang tinggal di Rompin. 

No comments:

Post a Comment