Wednesday, July 4, 2012

HUDUD DI JOHOR: REAKSI NGO

Cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah Datuk Ayub Rahmat agar hukum hudud dilaksanakan di Johor telah menjadi isu paling hangat semenjak dua hari lalu.

Banyak reaksi dapat dilihat, tidak kiralah dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang. Tetapi, KD lebih gemar melihat reaksi atau pandangan dari pihak luar seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat.

Di sini KD perolehi beberapa reaksi dari NGO di Malaysia:
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), yang diwakili Presidennya, Amidi Abdul Rahman menyokong penuh cadangan itu, namun menggesa satu pelan induk berlandaskan hukum syariah perlu dirangka terlebih dahulu. Katanya, cadangan itu perlu diteliti supaya tidak menimbulkan sebarang kekeliruan kepada umat Islam.
Berkongsi pandangan yang sama, Setiausaha Agung Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM), Nahar Mohd Nor pula berkata, pelaksanaan hudud perlu dirancang dan dinilai secara keseluruhan agar, tidak timbul isu hanya negeri tertentu sahaja melaksanakan hukum tersebut. Ini kerana, jika hudud tidak diselaraskan dengan baik, ia boleh menimbulkan fitnah kerana dilakukan tanpa persiapan rapi.
Sementara itu, Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Abdul Halim Ismail berkata, kenyataan Adun Kemelah itu dianggap perkara biasa bukannya perkara ganjil. Pelaksanaan hudud patut diterima secara positif dan perkara ini menjadi kontroversi apabila dipolitikkan oleh sesetengah pihak. Namun, pelaksanaannya perlu dijalankan secara menyeluruh kerana kemungkinan ada pihak cuba melarikan diri daripada dikenakan hukuman itu ke negeri lain. 
Badan Anti Liberalisme Agama (BADAI), antara NGO Islam yang gembira dengan perkhabaran ini.  Setiausaha Agungnya, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, pelaksanaan hukum hudud di seluruh negara sepatutnya dimulakan oleh Kerajaan Pusat berikutan Umno yang memimpin negara ini. Jadi, jika Kerajaan Pusat benar-benar mahu melaksanakannya, persediaan sepenuhnya diperlukan. Bagaimanapun, BADAI berharap ia bukan sekadar gimik pilihanraya.
Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) menyokong cadangan untuk menjadikan Johor sebagai negeri pertama melaksanakan hukum hudud di Malaysia. Presidennya, A Rahman Mahadi berkata, pihaknya menganggap soal hukum hudud sebagai subjek yang tercicir. PPPMM berpendapat, sebagai umat Islam menjadi kewajaran untuk sama-sama mengukuhkan pengetahuan dan ilmu mengenai syariat Islam supaya prinsip dan formula yang terkandung dalam al-Quran tidak tercicir.
Bagi KD, sama ada ia (hukum hudud) ini terlaksana atau tidak, semuanya bergantung pada kepimpinan negara ini. Mungkin di peringkat awal, ia dilaksanakan secara berperingkat iaitu di peringkat negeri dahulu. Secara berperingkat ia kemudiannya diserap dalam Perlembagaan Negara.

No comments:

Post a Comment