Tuesday, September 25, 2012

DANA ASING BERSIFAT SUBVERSIF - ZAM

SHAH ALAM: Mengakui penyaluran dana asing ke negara ini sudah wujud sejak zaman Perang Dingin, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin bagaimanapun menegaskan perkara tersebut perlu dilihat dalam konteks yang berbeza.
Menurut beliau, bentuk bantuan dari luar negara yang diterima ketika zaman Perang Dingin tidak dianggap sebagai satu kesalahan kerana ia lebih bersifat kepada perjuangan untuk menyelamatkan negara daripada cengkaman komunis.
Bantuan yang diterima pula katanya adalah lebih kepada memberi peluang kepada anak tempatan untuk diberi latihan di dalam bidang-bidang tertentu di Eropah dan Amerika Syarikat, sebelum diserap bekerja di negara-negara tersebut.
“Tapi semuanya masa itu bekerja dan mengetahui mereka adalah alat kepada Amerika, kuasa besar barat, untuk memerangi komunis.
“Jadi pada masa itu tidak menjadi satu kesalahan kerana adalah sesuai dengan dasar negara, dan sesuai dengan perjuangan untuk menyelamatkan negara dan juga kepentingan kebebasan dunia,” kata beliau.
Namun begitu tegas veteran Umno ini, situasi hari ini sudah jauh berubah apabila penyaluran dana asing di negara ini dilihat lebih bersifat subversif.
Berpendapat ianya ‘subversif dalam bentuk baru’, objektif sebenar kemasukan penaja-penaja asing ke negara ini dengan bermodalkan hak asasi manusia katanya sebenarnya adalah untuk ‘menjajah’ kedaulatan negara.
“Jadi itulah keadaan yang ada sekarang yang dulu dianggap bantuan kepada kita tapi sekarang menjadi sesuatu yang merbahaya, yang merupakan satu anasir subversif dalam bentuk yang baru.
“Kalau dulu kita berjaya menentang subversif komunis, tapi keadaan akan menjadi sukar dalam keadaan kita berjuang menentang ‘a new element of subversive’ kerana ia didalangi dan didokong dan dibantu oleh orang yang membantu kita dulu,” tegas beliau.
Menurutnya lagi, kegiatan-kegiatan sebegini sekiranya tidak dibendung dari sekarang akan mengakibatkan kesan yang negatif kepada negara.
Malaysia katanya akan kehilangan identiti tersendiri sebaliknya akan menjadi alat kepada kuasa besar seperti Amerika Syarikat.
Dan tanda-tanda ke arahnya menurut Tokoh Wartawan Negara ini semakin jelas dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta sesetengah portal berita yang dakwa beliau mendapat tajaan dari luar negara, dilihat semakin agresif memainkan peranannya untuk menjatuhkan kerajaan.
“Kesannya ia mungkin akan menjatuhkan kerajaan, menukar pemikiran rakyat, menghilangkan nilai-nilai diri kita sendiri dan akhirnya kita akan tidak mempunyai identiti sendiri dan kita hanya menjadi alat Amerika.
“Elemennya ialah akan menyebabkan kita tidak bebas, dia mencampuri politik kita dan kebebasan kemerdekaan kita bukan ditentukan oleh kita sendiri, tapi kuasa barat iaitu Amerika.
“Sekarang yang menjadi alatnya adalah macam Anwar, jelaslah dia bagi bantuan kepada Anwar, kepada semualah yang mana yang link (berkaitan) seperti dengan media (alternatif), dengan politician (ahli politik), parti pembangkang, untuk menjatuhkan kerajaan yang masih mempertahankan kemerdekaan sendiri, wawasan sendiri,” ujar bekas ahli Parlimen Sungai Petani ini.
Selain pihak berkuasa, rakyat sendiri katanya perlu memainkan peranan mereka untuk mengelakkan campurtangan asing berleluasa di negara ini dengan memberikan sokongan serta memperkuatkan kerajaan yang sedia ada.
“(Campurtangan asing boleh) Diatasi dengan kita memberikan sokongan kepada kerajaan, memperkuatkan kerajaan yang ada sekarang. Kalau kerajaan lemah, kita tidak boleh atasi perkara ini,” katanya.–AntaraPos.com

No comments:

Post a Comment