Thursday, November 14, 2013

AJARAN SESAT: WARAN TANGKAP TERHADAP TUHAN HARUN

Tuhan Harun
Harun Mat Saad, 47, yang digelar "Tuhan Harun". - Foto Bernama
KUANTAN - Mahkamah Rendah Syariah Kuantan hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Harun Mat Saat, atau dikenali sebagai 'Tuhan Harun' selepas ketua kumpulan ajaran sesat itu gagal hadir buat kali kedua untuk proses pengurusan kesnya semalam.
   
Harun, 47, yang menghadapi 10 pertuduhan mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982, juga gagal hadir pada sebutan pertama kesnya, 20 Ogos lepas.
   
Hakim Syarie Abdul Wahid Md Ali Al-Fakwie mengeluarkan waran itu selepas permohonan dikemukakan Ketua Pendakwa Syarie negeri Salehuddin Ab Manaf.
   
Pada 24 April lepas, Harun didakwa atas satu pertuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah dan 10 pertuduhan di Mahkamah Rendah Syariah termasuk menyebarkan ajaran sesat dan menghina agama Islam dengan mengaku sebagai tuhan.
   
Tertuduh yang tidak mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000 bersama dua penjamin.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Shariffuddin Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan mengenai waran tangkap itu dan berkata polis akan membantu Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengesan Harun dan para pengikutnya yang kini dipercayai sedang bersembunyi.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment