Wednesday, June 12, 2013

KEMATIAN TAHANAN: PEMBANGKANG MEMANG SENTIASA MENGKRITIK KERAJAAN - EAIC

PUTRAJAYA —Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Datuk Heliliah Mohd Yusof tidak kisah dengan kritikan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) yang mendakwa mereka gagal melaksanakan tanggungjawab terutamanya melibatkan kes kematian dalam tahanan.

Agensi kerajaan itu menerima tekanan daripada pelbagai pihak terutamanya melibatkan isu kematian 9 orang dalam tahanan polis sepanjang tempoh tahun ini, yang terbaru adalah melibatkan kematian warga Jepun Nobuhiro Matsushita, 33, ditemui tergantung pada palang besi pintu lokap di Balai Polis USJ 8 Subang Jaya hujung minggu lalu.

“Mereka berhak untuk mengkritik... sebuah pandangan adalah tetap pandangan, cuma kita telah berusaha untuk membolehkan supaya rakyat faham apakah tujuan dan tanggunjawab suruhanjaya ini,” kata Heliliah (gambar) dalam satu sidang media di ibu pejabat EAIC di sini.

Menurut Heliliah, sudah menjadi sikap pemimpin pembangkang  sentiasa mengkritik terutamanya terhadap kerajaan, di samping menegaskan agensi yang diterajuinya adalah bebas dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

“Adakah mana-mana badan yang diwujudkan kerajaan, walaupun dengan tulus ikhlas, pihak pembangkang akan mengatakan itu adalah digalakkan dan menyokongnya?

“Saya ingin tegaskan suruhanjaya adalah sebuah agensi bebas walaupun kami mendapat sumber kewangan daripada Jabatan Perdana Menteri... kami perlu menjawab kepada Parlimen,” terang beliau lagi.

Tony Pua dari DAP semalam berkata EAIC dicipta untuk gagal oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan hanya ditubuhkan pada tahun 2011 untuk menenangkan tekanan ke atas pelaksanaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

"Perbezaan antara kedua-dua adalah jelas dalam niat mereka, dengan EAIC ditubuhkan sebagai harimau tidak bertaring bertujuan khusus melakukan kerja kosmetik menenangkan permintaan orang ramai untuk IPCMC, disamping memenuhi bantahan lantang daripada pasukan polis," kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara tersebut dalam satu kenyataan semalam.

Isu kematian dalam tahanan Kematian telah mencetuskan reaksi negatif pelbagai pihak, malahan pembangkang dari Pakatan Rakyat (PR) telah mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil tindakan tegas terhadap anggota polis terlibat dengan menangkap mereka, dan bukannya hanya menukar kepada tugasan pejabat.

IPCMC dicadangkan pada 2005 oleh suruhanjaya diraja yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah tetapi ditentang oleh polis, seharusnya berdasarkan kepada model Suruhanjaya Bebas Aduan Polis United Kingdom (IPCC), termasuk badan pemantau polis lain di New South Wales dan Queensland di Australia dan Hong Kong. –The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment