Wednesday, June 12, 2013


GUNA LAMAN SOSIAL HINA NABI MUHAMMAD, ADA PIHAK SENGAJA MAHU ROSAK AKIDAH MASYARAKAT

KOTA BHARU - Tindakan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab menggunakan laman sosial untuk menghina Nabi Muhammad SAW disifatkan satu bentuk murtad baharu yang mahu 'diajar' kepada masyarakat hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ia merupakan satu perancangan rapi oleh pihak yang tidak senang dengan Islam dan sengaja mahu merosakkan akidah umatnya.

Beliau berkata, tindakan tersebut bukan sahaja merosakkan umat Islam tetapi juga perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini.

"Saya melihat ini sebagai satu perancangan yang berstrategi di pihak yang tidak bertanggungjawab maka menjadi tangunggjawab negara, kerajaan dan pegawai agama untuk mengatasinya.

"Jangan kita menganggap perkara ini mempunyai satu dorongan daripada pihak yang bukan Islam tetapi ini kelompok-kelompok yang tidak senang dengan Islam, ini yang kita kena faham dalam menjaga keharmonian agama pada hari ini."Mereka cuba mewujudkan suasana tegang kerana keadaan seperti itu mereka dapat melakukan banyak perkara-perkara yang buruk dan negatif terhadap negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Jakim mengenai anasir daripada luar dan dalam negara ini, bertindak menggunakan laman sosial bagi menggerakkan gelombang kedua untuk memurtadkan umat Islam selepas gelombang pertama menggunakan penyebaran risalah di tempat awam dapat dikesan.

Jamil Khir berkata, pihaknya memandang berat mengenai masalah tersebut dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

"Sebuah jawatankuasa yang menyatukan pelbagai pihak seperti polis, Jabatan Imigresen dan pejabat-pejabat agama di setiap negeri ditubuhkan untuk memantau perkara ini. Jawatankuasa ini juga memantau penghinaan terhadap agama-agama lain juga.


"Kita cuma hendak memperkemaskan lagi (jawatankuasa) di peringkat negeri supaya mempunyai satu semangat yang bersama di peringkat pusat dan negeri-negeri," katanya. –Utusan Online

No comments:

Post a Comment