Monday, December 30, 2013

KOS SARA HIDUP MENINGKAT, KERAJAAN KOMITED BANTU RAKYAT

KUALA LUMPUR: Yayasan 1Malaysia yakin kerajaan berusaha mengurangkan bebanan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana berikutan peningkatan kos sara hidup.

Pemegang Amanahnya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kerajaan melaksanakan pelbagai pendekatan bijak mengurangkan bebanan rakyat kesan kenaikan tarif elektrik, cukai pintu serta harga barang dan perkhidmatan.

Pada masa sama katanya, perlu banyak usaha dilaksanakan bagi mengukuhkan ekonomi negara dalam semua sektor yang secara langsung meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Rapat jurang pendapatan

Beliau berkata, usaha perlu terarah kepada merapatkan jurang pendapatan yang terlalu besar dalam kelompok berpendapatan tinggi dan rendah agar kenaikan kos hidup tidak dirasai semua lapisan masyarakat.

“Kita yakin usaha kerajaan memastikan syarikat konsesi lebuh raya tidak akan mendapat keuntungan besar atau kurang munasabah menerusi peningkatan kadar tol dapat mengurangkan tanggungan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Kami yakin kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya membiarkan rakyat dibebani masalah kewangan kesan peningkatan kos hidup,” katanya di sini, semalam.

Lam Thye berkata, dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat, kerajaan perlu meneruskan agenda memperkukuh ekonomi negara, sekali gus menyediakan lebih banyak peluang untuk meningkatkan mutu hidup rakyat.

Katanya, usaha itu sejajar komitmen kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Dalam pada itu, Lam Thye yang juga Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata, polis perlu melipatgandakan usaha mengurangkan lagi kes jenayah bagi membolehkan kawasan awam dan kediaman lebih selamat untuk semua.

“Keselamatan dan ketenteraman awam adalah isu kritikal di negara ini,” katanya yang menggesa kerajaan menumpukan isu pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar.

Sumber: Bernama/mStar

No comments:

Post a Comment