Monday, December 30, 2013

NGO GESA HIMPUNAN ‘GULING KERAJAAN’ DIHALANG

SHAH ALAM - Bantahan dan laporan polis mendesak pihak berkuasa menghalang perhimpunan guling kerajaan esok masih berterusan.

Rata-rata daripada mereka tidak bersetuju himpunan diadakan kerana boleh menjejaskan keamanan di dalam negara.

DI PAHANG, Perkasa negeri berkumpul di Jalan Mahkota menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengenakan tindakan undang-undang terhadap individu yang bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan itu.

Menurutnya, negara aman damai tanpa kekacauan, maka perhimpunan seperti itu tidak perlu kerana boleh mengganggu rutin harian rakyat.

NGO terlibat termasuk Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Pahang, Perkasa Pahang, Badan Kebajikan Kemanusiaan Beserah dan Sungai Karang (Bakkis), Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) cawangan Kuantan, Persatuan Nelayan Kuantan dan Persatuan Belia Kuantan.

Lapan wakil NGO terlibat kemudian membuat laporan di Pondok Polis Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan.

Di MELAKA, sebanyak 11 pertubuhan masing-masing membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah bagi membantah perhimpunan berkenaan.

Pertubuhan terlibat adalah Umno Kota Melaka, Pemuda Kota Melaka, Wanita Kota Melaka, Pesaka negeri, Persatuan Kontraktor negeri, MAYC Kota Melaka, Belia 4B Kota Melaka dan Koperasi Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Berhad.

Turut serta, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Perigi Hang Tuah dan Pengkalan Rama, serta Persatuan Kompang Ezhar Melaka Tengah.

Lebih 50 orang berkumpul di luar balai polis kira-kira 10 pagi sebelum setiap seoarang wakil pertubuhan membuat laporan. 

Laporan polis turut dibuat empat pertubuhan di Kampung Ayer Merbau dalam Dun Merlimau, Jasin.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)  Ayer Merbau bersama Puteri Umno Cawangan Ayer Merbau,  Persatuan Penduduk dan Umno cawangan terbabit serta Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF) Jasin turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, kira-kira 3 petang semalam.

DI SABAH, Polis Tawau menerima 18 laporan bantahan perhimpunan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Awang Besar Dullah memberitahu, pihaknya menerima lima laporan daripada kira-kira 100 anggota Umno bahagian Kalabakan diketuai Naib Ketua bahagian Ismail Ayid.

Turut membuat laporan polis ialah Persatuan Kebudayaan Suluk-Bajau Tawau Sabah yang diketuai Presidennya Datu Lukman Datu Shabuddin, Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Sabah diketuai Pengerusinya Sardiansah Sende, Kelab Penyokong Barisan Nasional Tawau diketuai Ardi Arsah dan Kelab Penyokong Najib Razak diketuai Azizul Tandek.

DI SEREMBAN, Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Senator Datuk Syed Ibrahim Kader berkata, setakat ini, tidak kurang 25 laporan polis telah dibuat Kimma di seluruh negara sebagai tanda bantahan terhadap perhimpunan haram tersebut.

Katanya, Kimma tidak akan memberi muka kepada mana-mana ahli yang didapati terlibat dengan perhimpunan berkenaan.

Katanya, kerajaan perlu mencontohi tindakan cepat dan tegas Singapura terhadap kejadian rusuhan di Little India pada 8 Disember lalu apabila semua yang terlibat dikenakan tindakan undang-undang.

“Kerajaan selalu beri amaran, tapi cukuplah. Sebaiknya kita terus mengambil tindakan tegas. Buat sesuatu dengan menangkap dan membawa mereka ke mahkamah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Pelajar India Muslim sesi 2014 di Pejabat Perhubungan Umno Negeri Sembilan, di sini, semalam.

DI KEDAH, Bekas Exco Pemuda Pas Kedah, Zainon Ismail berkata, Pembangkang perlu menjadikan insiden hura-hara di Thailand sebagai teladan sebelum mengadakan himpunan yang didakwa untuk menggulingkan kerajaan pada 31 Disember ini.

“Kita lihat apa berlaku di Thailand apabila pasukan baju merah menentang pasukan baju kuning. Beberapa lama kemudian, pasukan baju kuning pula cuba menjatuhkan pasukan baju merah.

“Sejak tahun 2004 keadaan di Thailand belum tenang. Apakah rakyat Malaysia mahu berlaku seperti itu?” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyertai demonstrasi aman bersama 15 NGO di dataran hadapan Masjid Zahir, Alor Setar, yang membantah himpunan itu, semalam.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment