Monday, December 30, 2013

UMNO TERENGGANU BANTAH HIMPUNAN ‘GULING KERAJAAN’

KUALA TERENGGANU – Badan Perhubungan Umno Terengganu membantah tindakan kumpulan tertentu untuk mengadakan himpunan guling kerajaan pada penghujung bulan ini.

Ketua penerangannya, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, tindakan yang disifatkan tidak bertanggungjawab itu tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi di sebuah negara demokrasi yang memperlihatkan pihak tertentu cuba mencabar sistem sedia ada di negara ini untuk menukar kerajaan melalui demonstrasi jalanan.

“Tindakan sebegini tidak sepatutnya jadi amalan di Malaysia. Lagipun, kita sudah merdeka sejak 1957 dan dalam tempoh itu beberapa negeri juga sudah jatuh kepada pembangkang melalui pilihan raya.

“Jadi, kita lihat himpunan sedemikian hanya untuk timbulkan kekacauan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau minta kerajaan mengambil tindakan segera bagi mengelak perkara tidak diingini.

Beliau juga menggesa polis membuka kertas siasatan dan mengambil serius laporan polis yang dibuat beberapa pihak di seluruh negara bagi menyiasat dalang perhimpunan yang dijangka diadakan 31 Disember ini di Dataran Merdeka.

“Kita tak boleh biarkan perkara ini berlaku sebab ini cara tidak baik, ia cara luar yang tiada adab. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana babitkan keselamatan negara.

“Kerajaan harus peka terhadap laporan NGO di seluruh negara dan kita minta bertindak segera,” katanya.

Beliau tidak menolak perhimpunan itu diadakan untuk menutup kekecewaan pembangkang akibat penganjuran anti-GST yang diadakan sebelum ini tidak mendapat sokongan orang ramai.

Menyentuh perkara sama, beliau menasihatkan golongan muda tidak terpengaruh dengan himpunan terbabit yang dilihat sengaja mahu menjatuhkan imej kerajaan, di samping meminta semua pihak termasuk pembangkang mengikut undang-undang sedia ada dengan melakukan perubahan melalui pilihan raya, bukannya jalan raya.

“Rakyat kena faham hajat dan tujuan sebenar pihak terlibat memanggil ke perhimpunan tersebut iaitu semata-mata untuk menimbulkan kebencian terhadap kerajaan sedangkan apa yang dilaksanakan kerajaan jauh lebih baik untuk memastikan keamanan dan keselesaan rakyat. Jadi jangan mudah terpedaya dengan anasir jahat,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment