Thursday, September 6, 2012

HINA GAMBAR PM: KERAJAAN PERLU NILAI KENAPA BERLAKU - SUARAM

KUALA LUMPUR: Insiden mempermainkan gambar pemimpin negara pada malam ambang Merdeka tempoh hari perlu dinilai oleh kerajaan mengapa ianya berlaku.

Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Ahmad Syukri Abd Razab berkata, apa yang dilakukan oleh anak muda pada malam itu ada signifikannya yang perlu difikirkan.

"Kerajaan perlu fikirkan mengapa mereka bertindak diluar batas seperti itu. Apakah tidak cukup dengan sekadar laungan dan protes sehingga mereka memijak gambar pimpinan. Ini yang perlu dinilai oleh kerajaan," katanya.

Katanya, tindakan memijak gambar itu menggambarkan ekspresi kemarahan anak muda yang merasakan tuntutan mereka yang tidak dipenuhi oleh kerajaan.

Namun beliau menegaskan perbuatan tersebut adalah diluar batasan dan ia tidak sepatutnya berlaku.

"Kita tidak perlu tunjuk perbuatan seperti itu untuk menyatakan protes kita terhadap mana-mana pihak. Kita tidak boleh menerima budaya ini sebagai demokrasi tulen," katanya.

Bagaimanapun tegasnya, pihak kerajaan perlu bersikap adil dan mengenakan tindakan undang-undang kepada sesiapa sahaja yang melakukannya.

"Maknanya sesiapa yang melakukan perbuatan seperti itu harus dikenakan tindakan tidak kira individu yang menghina pimpinan kerajaan ataupun pimpinan pembangkang. Kerajaan perlu adil," katanya.

Tambahnya, jika dibiarkan perbuatan seperti itu terus berleluasa seolah-olah kerajaan membiarkan demokrasi ini diamalkan secara liar. -Harakahdaily

No comments:

Post a Comment