Wednesday, September 5, 2012

ISU TUKAR BENDERA: KDN MAHU INSIDEN MALAM AMBANG MERDEKA DIBENDUNG

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyifatkan kejadian mengibar bendera baharu sebagai ganti Jalur Gemilang pada Khamis lepas sebagai perbuatan yang mencabar kedaulatan negara.

Ketua Setiausaha kementerian Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata jika tidak dibendung, perbuatan sedemikian boleh menyemai rasa benci dalam kalangan masyarakat sekali gus menjejaskan kepentingan awam.

"Masyarakat perlu faham apa yang berlaku adalah bertentangan dengan norma masyarakat Malaysia," katanya dalam kenyataan, di sini, Selasa.

Beliau berkata KDN komited untuk memastikan tindakan tegas dikenakan ke atas mereka yang terlibat dalam perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Perbuatan mengibar bendera baharu yang dikatakan 'pengganti' Jalur Gemilang itu dilakukan segelintir peserta Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka ketika malam ambang Hari Kemerdekaan ke-55 negara.

Sementara itu, di KUANTAN, beberapa badan bukan kerajaan mengutuk perbuatan tersebut dan membuat laporan polis meminta siasatan dilakukan segera bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab.

Mereka terdiri daripada Wira Perkasa Pahang, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Kelab Belia 4B, Majlis Belia Daerah Kuantan dan Kelab Bell Belia Tamil Kuantan (KBBT).

Ketua Wira Perkasa Pahang Ezad Zainal berkata tindakan mengibar bendera baharu itu seolah cubaan menghidupkan kembali puak berhaluan kiri yang mahu menukar negara ini kepada kerajaan republik pada 1947.

"Ini bukan soal politik tetapi soal cintakan negara. Bendera yang mereka pamerkan itu seakan sama dengan bendera yang dikibarkan oleh puak berhaluan kiri dahulu antaranya MPAJA yang sinonim dengan komunisme," katanya kepada pemberita, di sini.

Pengerusi KBBT M. Thiagaselan pula berkata mereka yang terlibat mungkin dijadikan boneka oleh sesetengah pihak.

"Polis perlu menjalankan penyiasatan yang menyeluruh dan mengenal pasti siapa dalang sebenar di sebalik kejadian berkenaan dan mereka inilah yang sewajarnya dikenakan tindakan seperti dilucutkan kerakyatan," katanya. –BERNAMA/MStar

No comments:

Post a Comment