Monday, May 13, 2013

PASCA PRU13: KEGHAIRAHAN MEREBUT KUASA PUNCA MASYARAKAT MELAYU BERPECAH

GEORGETOWN - Keghairahan sesetengah pihak untuk merebut kuasa menjadi penyebab kepada perpecahan masyarakat Melayu pada hari ini, kata Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Datuk Seri Mohd Yussof Latiff.
  
Beliau berkata perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu amat ketara terutamanya menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang lepas.
  
"Sekarang ni orang Melayu berpecah kerana nak berebut kuasa. Inilah berlakunya perpecahan di kalangan orang Melayu. Bila tak bersetuju, tubuh parti lain...Melayu jadi lemah balik sehingga kita dipandang hina dalam negara kita sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) kali ke-42, di sini hari ini.
  
Beliau berkata masyarakat Melayu kini terbahagi kepada tiga puak yang membawa kepada perbezaan politik di mana boleh mengakibatkan perseteruan dan kerenggangan yang sangat serius.
  
Katanya, jika keadaan ini berterusan adalah tidak mustahil masyarakat Melayu akan menjadi 'peminta sedekah' di dalam negaranya sendiri.
 
Mohd Yussof berkata masyarakat Melayu seharusnya menghayati dan menilai semula 'Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu' yang termaktub pada 5 Ogos 1957 bagi memastikan kesinambungan sejarah dan survival masyarakat Melayu.
  
Beliau berkata masyarakat Melayu perlu membangunkan semula semangat 'Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu' itu yang mengetengahkan kepentingan dan keistimewaan masyarakat Melayu, perlembagaan negara, bahasa Melayu dan agama Islam. 
  
"Maka telah tiba masanya orang-orang Melayu bersatu-padu dalam satu wadah pembelaan bagi menjamin kebahagiaan hidup dan masa depan orang-orang Melayu dengan mempertahan dan menjunjung semangat Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu," katanya.

Mohd Yussof turut menyarankan kerajaan menubuhkan Majlis Perundingan Negara yang dianggotai semua kaum tanpa mengira fahaman politik, berperanan sebagai platform untuk membincangkan pembangunan yang dapat memberi faedah kepada semua kaum. – Bernama/ Sinar Harian

No comments:

Post a Comment