Wednesday, December 11, 2013

MALAYSIA DILANDASAN BETUL LAKUKAN TRANSFORMASI SISTEM PENDIDIKAN 

PUTRAJAYA: Malaysia berada di landasan betul untuk menjayakan inisiatifnya, terutama melalui Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia, dalam melaksanakan transformasi terhadap sistem pendidikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata rangka tindakan itu menangani sebahagian besar isu, termasuk kemerosotan kualiti pendidikan seperti yang terkandung di dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA).

"Kami mengambil bahagian dalam PISA sejak 2009 dan rangka tindakan ini meneliti hasilnya hingga 2011 dan kami juga nampak kemerosotan yang dialami (kualiti pendidikan)," katanya kepada media selepas pelancaran Pemantauan Ekonomi Malaysia Disember 2013: Pendidikan Berprestasi Tinggi di sini, Selasa.

"Sebab itulah rangka tindakan itu turut mengenal pasti sasaran Malaysia untuk melonjak ke peringkat satu pertiga teratas dalam kalangan negara yang menyertai penilaian itu, daripada kedudukannya sekarang," kata beliau.

Mengulas laporan itu, Wahid berkata: "Isu yang ditimbulkan laporan ini tentang sekolah autonomi dan peningkatan penyertaan pemegang kepentingan dalam sistem berkenaan, telah dikenal pasti dalam rangka tindakan itu, manakala langkah telah dan akan diambil untuk menangani syor yang dikemukakan".

Katanya menurut perspektif kerajaan, ia perlu terus memberi fokus terhadap pelaksanaan pelbagai inisiatif yang dikenal pasti dalam rangka tindakan itu.

Sumber: mStar Online

No comments:

Post a Comment