Tuesday, December 3, 2013

TARIF BAHARU ELEKTRIK BERMULA 1 JANUARI

KUALA LUMPUR - Berkuat kuasa 1 Januari 2014, kadar purata tarif elektrik di Semenanjung akan dinaikkan sebanyak 4.99 sen/kWj atau peningkatan sebanyak 14.89 peratus daripada kadar purata semasa 33.54 sen/kWj kepada 38.53 sen/kWj.

Bagi negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, kadar purata tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 5.00 sen kWj (peningkatan sebanyak 16.9 peratus) daripada kadar semasa iaitu 29.52 sen/kWj kepada 34.52 sen.

Tarif elektrik baharu bagi semenanjung, Sabah dan Labuan itu diumumkan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili di bangunan Parlimen hari ini.

Menurut Maximus, bagi Semenanjung, tarif baharu itu akan menyaksikan penyelarasan tarif elektrik mengikut kategori pengguna iaitu:
  • Purata tarif domestik akan dinaikkan daripada 28.63 sen/kWj kepada 31.66 sen/kWj, iaitu penyelarasan sebanyak 1.21 sen/kWj (3.03 peratus)
  • Purata tarif komersial akan dinaikkan daripada 41.01 sen/kWj kepada 47.92 sen/kWj iaitu penyelarasan sebanyak 6.91 sen/kWj (16.85 peratus)
  • Purata tarif industri pula dinaikkan daripada 30.94 sen/kWj kepada 36.15 sen/kWJ iaitu penyelarasan sebanyak 5.21 sen/kWj (16.85 peratus)
Jelas Maximus, selaras dengan dasar melindungi kebajikan pengguna domestik berpendapatan rendah, tiada kenaikan tarif terhadap pengguna 300kWj/ sebulan ke bawah.

"Kerajaan akan terus membantu dengan memberikan rebat kepada pengguna-pengguna yang bil elektrik berjumlah RM20 dan ke bawah," katanya.

Beliau turut memaklumkan peruntukan subsidi khusus itu adalah sebanyak RM2.4 bilion setahun di Semenanjung dan RM155 juta setahun di Sabah serta Labuan.

Menurutnya, sebanyak 70.67 peratus atau 4.56 juta pengguna daripada 6.45 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 62 peratus atau 260,000 pengguna daripada 418,000 pengguna domestik di Sabah dan Labuan yang menggunakan elektrik pada kadar 300 kWj ke bawah, tidak akan terjejas.

Maximus memberitahu, program merasionalisasikan subsidi menerusi semakan semula tarif elektrik itu menjimatkan beban kerajaan sebanyak RM4 bilion setahun dalam bentuk pembelian gas daripada Petronas untuk penjanaan kuasa.

"Bagi mengukuhkan kedudukan kewangan negara dan ke arah penetapan harga gas berasaskan mekanisme harga pasaran, usaha rasionalisasi subsidi merupakan langkah yang perlu dilakukan kerajaan.

"Di samping itu, kerajaan juga perlu memastikan syarikat-syarikat utiliti mampu menampung peningkatan kos pembekalan elektrik dan mempertingkatkan pelaburan bagi menyediakan infrastruktur dan operasi pembekalan elektrik yang lebih baik," katanya.

Katanya, biarpun tarif baharu dilaksanakan, kerajaan tetap menanggung jumlah subsidi pelepasan hasil perolehan gas asli sebanyak RM14 bilion setahun di Semenanjung dan RM570 juta di Sabah dan Wilayah Persekutuan.

Menurut Maximus, bagi mempertingkatkan sumbangan Tenaga Boleh Baharu, kadar kutipan Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu akan dinaikkan daripada 1 peratus kepada 1.6 peratus berkuatkuasa 1 Januari 2014 di Semenanjung dan akan turut diperluas ke Sabah dan Labuan.

Dalam pada itu, jelasnya, kadar tarif elektrik Sabah Electricity Sdn. Bhd. yang rendah sebelum ini menjadi faktor penghalang kepada usaha untuk mempertingkatkan tahap kualiti pembekalan elektrik di Sabah.

Katanya, serentak dengan semakan semula tarif di Sabah dan Labuan, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM1.812 bilion bagi projek-projek pengukuhan infrastruktur baharu yang kritikal bagi 2014 hingga 2016 termasuk Projek Talian Penghantaran Southern Link.

"Kerajaan juga sebelum ini telah memperuntukkan bantuan kewangan sebanyak RM230.6 juta bagi tempoh 2013-2014 untuk pembiayaan projek-projek pengurangan System Average Interruption Duration Index (SAIDI) di seluruh Sabah," katanya.

Sumber:  http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/

Berikut pula merupakan jadual kadar/implikasi yang akan diterima oleh pengguna. Berdasar jadual tersebut, bermakna 70.67% (50.37% dan 20.3%) pengguna elektrik di negara ini tidak terlibat dengan kenaikan tariff ini.

No comments:

Post a Comment