Tuesday, December 3, 2013

KENAIKAN TARIF ELEKTRIK TAMPUNG KOS PENJANAAN TNB

Tenaga Nasional Bhd (TNB) berkata, kenaikan tarif elektrik berkuat kuasa pada 1 Januari ini perlu dilakukan bagi menampung kenaikan kos penjanaan susulan peningkatan harga bahan api global.

Ia juga untuk memenuhi pelaburan dalam infrastruktur bekalan elektrik bagi memastikan bekalan elektrik yang berdaya harap dan berterusan dapat dibekalkan kepada pelanggan, selain untuk menampung perubahan kos operasi pada masa akan datang.

Syarikat utiliti itu berkata, kos bagi bekalan gas bersubsidi meningkat daripada RM13.70/ bagi sejuta metrik unit thermal British (mmBTU) kepada RM15.20 mmBTU.

Harga pasaran bagi gas asli cecair (LNG) pula kini berada pada paras RM41.68/mmBTU sementara arang batu pada AS$87.50 (RM280.7) satu tan, katanya dalam kenyataan menjelaskan rasional kenaikan tarif elektrik sebanyak 4.99 sen/kWj yang diumumkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili di Kuala Lumpur semalam.

TNB berkata, daripada kenaikan tarif elektrik sebanyak 4.99 sen/kWj itu, sebanyak 78.60 peratus daripadanya adalah bagi menampung kenaikan harga gas bersubsidi dan harga LNG, manakala 3.4 peratus lagi adalah bagi arang batu.

Biayai pelaburan

“Baki 18 peratus (atau 0.9 sen perkilowatt sejam (sen/kWj) pula adalah bagi membiayai peningkatan dalam kos operasi serta pelaburan yang diperlukan untuk membangunkan serta membaik pulih infrastruktur industri bekalan elektrik agar bekalan tenaga elektrik yang mampan dan berdaya harap dapat dikekalkan,” katanya.

Syarikat utiliti itu menjelaskan, ia berdepan dengan lima komponen kos utama dalam menjana, menghantar dan mengagihkan elektrik kepada pengguna akhir.

Katanya, komponen berkenaan ialah kos bahan api seperti arang batu, gas dan lain-lain jenis bahan api yang digunakan oleh stesen jana kuasa; kos pembelian tenaga elektrik daripada Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) dan penjana stesen jana kuasa TNB; kos penyelenggaraan dan operasi; kos pembelian peralatan; dan perbelanjaan modal untuk membina dan membaik pulih projek infrastruktur seperti rangkaian pengagihan dan penghantaran, sub-stesen, pusat kawalan dan loji jana kuasa.

Tarif kekal sejak Jun 2006

Kumpulan itu, katanya melabur kira-kira RM3.5 bilion sehingga RM4 bilion setiap tahun untuk bekalan dan sistem peningkatan baru pada rangkaian pengedarannya.

Ia berkata, TNB juga melabur antara RM2 bilion hingga RM2.5 bilion setiap tahun khusus bagi meningkatkan lagi rangkaian penghantaran dan pembangunan bekalan.

Kali terakhir kerajaan menyemak tarif elektrik ialah pada Jun 2011 apabila ia dinaikkan 2.23 sen/kwj atau 7.12 peratus kepada paras semasa iaitu 33.54 sen/kwj daripada 31.31 sen/kWj.

Kenaikan itu dibuat setelah tarif elektrik tidak berubah sejak Jun 2006 dan sebagai sebahagian daripada proses rasionalisasi subsidi di tengah-tengah peningkatan harga LNG bagi sektor tenaga.

No comments:

Post a Comment