Tuesday, December 3, 2013

KONSEP WASATIYAH MALAYSIA DIPUJI

Pemimpin Parti Keadilan dan Kebebasan Mesir, Dr Abdul Moujud Dardery, memuji konsep wasatiyah yang diterapkan dalam sistem pentadbiran Kerajaan Malaysia.

Beliau berkata, konsep berkenaan berkait rapat dengan dasar pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang memperkenalkan transformasi dalam pelbagai bidang seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Katanya, konflik melanda negaranya boleh dielakkan jika konsep demokrasi dan wasatiyah diamalkan Malaysia turut diamalkan negara berkenaan.

Contohi demokrasi negara

“Saya sudah baca buku Memacu Transformasi karya Najib dan mengakui ia adalah dasar yang baik. Buku berkenaan perlu diterjemahkan ke dalam bahasa Arab untuk dijadikan contoh negara Arab supaya mengamalkan demokrasi seperti diamalkan Malaysia,” katanya pada forum semalam.

Selain beliau, empat ahli panel lain ialah Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Joseph Y Yun; Duta Peru ke Malaysia, Marco V Balarezo; wakil kerajaan Ukraine, Anatoly K Orel dan EXCO Kedah, Datin Nor Sabrina Mohd Noor.

Forum ‘Apabila Kesederhanaan Dipinggirkan, Keangkuhan Menjadi Punca Konflik’ itu dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Saifuddin Abdullah.

Sementara itu, Joseph Y Yun berkata, konflik dalaman sesebuah negara hanya boleh ditangani pihak di negara itu sendiri dan bukannya menerusi campur tangan luar.

Puji prinsip urus hal ehwal negara

Yun turut memuji inisiatif Malaysia menguruskan hal ehwal membabitkan kepentingannya dalam isu domestik atau antarabangsa tanpa bantuan asing.

“Malaysia adalah negara berprinsip. Kali pertama saya menjejakkan kaki ke negara ini, saya tahu AS dan negara ini boleh bersahabat baik dan bekerjasama dalam pelbagai hal berdasarkan konsep kesederhanaan diamalkan Kerajaan Malaysia.

“Saya melihat Malaysia negara Islam teladan bagi kebanyakan negara Islam yang lain, terutama dalam hal menyelesaikan konflik,” katanya.

No comments:

Post a Comment