Sunday, December 1, 2013

BBC SOKONG MB SELANGOR

Elaun Exco Selangor naikSHAH ALAM - Kemelut isu kenaikan gaji yang hangat diperkatakan dianggap selesai selepas Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan dibuat oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

BBC yang dihadiri oleh hampir 90 peratus ahlinya bertemu dengan Abdul Khalid sejurus selepas berakhir sidang Dun petang kelmarin.

Pertemuan tersebut diadakan untuk membincangkan isu-isu terkini terutamanya berhubung kenaikan gaji.

Bagaimanapun, pengerusinya, Azmin Ali tidak menyertai pertemuan tersebut kerana mempunyai urusan lain.

Timbalan pengerusinya, Abd Rani Osman berkata, isu tersebut tidak sepatutnya timbul kerana BBC sendiri sebelum ini pernah membangkitkan mengenai cadangan kenaikan gaji.

Abd Rani yang juga Adun Meru berkata, BBC menyokong dan tidak mempunyai sebarang masalah dengan kenaikan tersebut tetapi ia disifatkan terlalu drastik dan sepatutnya perbincangan diadakan terlebih dahulu.

“Kita dah bertemu dan berbincang beberapa perkara antaranya isu-isu terkini terutamanya kenaikan gaji dan kita menyokong.

“Kita tak tolak, tak minta dikaji semula kerana pernah menyuarakan mengenai perkara itu sebelum ini malah tidak menjadi masalah kenaikan tersebut kerana ia datang dari sumber halal. Dalam Islam sendiri tidak menghalang menjadi jutawan sekiranya sumber itu halal,” katanya, semalam.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Azmin yang meminta Abdul Khalid menangguhkan atau mengkaji semula, Abd Rani berkata, kenyataan itu dibuat berdasarkan kapasiti peribadi.

Menurutnya, beliau berpendapat apa cuba disampaikan oleh Azmin disalah tafsir.

“Mungkin niat Azmin baik tetapi disalah tafsir oleh sesetengah pihak.

“Selepas ini sebarang kenyataan isu besar perlu dibuat secara konsensus,” katanya.

Abd Rani berkata, Abdul Khalid akan membuat sidang media pada Selasa atau Rabu depan untuk menjelaskan isu kenaikan gaji itu.

Timbalan pengerusi, Ng Suee Lim yang juga merupakan Adun Sekinchan berkata, pertemuan tersebut diadakan bagi menjelaskan kecelaruan yang berlaku berikutan beberapa kenyataan berhubung perkara berkenaan.

Suee Lim berkata, BBC mengambil keputusan untuk tidak membuat sebarang kenyataan peribadi yang boleh mengundang kontroversi.

“Kita harap semua pihak tidak akan buat sebarang kenyataan sensasi mengenai isu ini.

“Pada saya itu pandangan peribadi Azmin sahaja,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment