Sunday, December 1, 2013

GST TIDAK AKAN MISKINKAN RAKYAT

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bakal dilaksanakan pada April 2015 tidak akan menjadikan rakyat miskin.
GST 
Penolong Kanan Pengarah Kastam II, Faizulnudin Hashim berkata, ini kerana ia menggantikan cukai sedia ada yang lebih tinggi.

“GST ini akan menggantikan cukai jualan lima peratus, dan 10 peratus serta cukai perkhidmatan enam peratus. Kesan cukai dulu bersifat dua kali dan bertindih yang mengakibatkan cukai berganda. 

“Kalau ikutkan kuasa membeli, kita berada di pertengahan. Singapura yang ada kuasa beli tinggi sudah lama laksanakan GST. Kuasa membeli Thailand lebih rendah daripada kita, tapi (ia) melaksanakan GST. Sudan juga negara miskin dan laksanakan GST,” katanya ketika menyampaikan Seminar Penerangan Rasionalisasi Subsidi: Apa itu GST dan Kesannya Kepada Pengguna, di sini, hari ini.

Sehubungan itu katanya, rakyat tidak perlu bimbang kerana kerajaan membuat kajian terlebih dahulu bagi melaksanakannya berdasarkan kedudukan ekonomi negara.

“Berdasarkan model diperkenalkan, tidak semua barangan dan perkhidmatan akan dikenakan GST, termasuk kemudahan pengangkutan awam, tol, kesihatan, kewangan, tanah dan juga perumahan. 

“Selain itu, produk pertanian serta makanan asas tidak akan dikenakan GST. Namun begitu kadar GST hanya boleh dilaksanakan oleh kedai yang membuat jualan sehingga RM500,000 setahun ke atas. Hampir 160 negara sudah pun melaksanakan GST, di Asean sahaja, cuma Malaysia, Brunei dan Myanmar  tidak laksanakan GST, Myanmar dikatakan akan melaksanakan GST,” kata beliau.

Katanya, di awal pelaksanaan GST, beliau tidak menafikan harga sesetengah barangan akan naik, tetapi menuntut supaya rakyat bijak berbelanja.

“Kenaikan harga memang akan berlaku, sebab dulu ada barangan dan perkhidmatan yang tidak dikenakan cukai. Di bawah sistem GST, semua kena cukai melainkan yang sudah dikecualikan sahaja.

“Tetapi ada tiga komponen indeks yang menunjukkan penurunan harga. Dalam komponen-komponen ini, pada ketika ini kadar cukainya pada kadar 10 peratus. Secara logiknya apabila cukai dikurangkan kepada enam peratus, berlaku penurunan. Selain daripada itu akan berlaku kenaikan harga. Hasil daripada simulasi yang kita buat akan berlaku kenaikan enam peratus perbelanjaan kita mengikut kadar cukai,” katanya.

No comments:

Post a Comment