Saturday, November 30, 2013

GAJI ADUN SELANGOR HARUS SEIRING PEMBANGUNAN

Elaun Exco Selangor naikKUALA LUMPUR - Kenaikan gaji Adun Selangor yang diumumkan pada Rabu seharusnya selaras dengan usaha mereka meningkatkan pendapatan per kapita rakyat di negeri itu.

Pegawai Penerangan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Selangor, Datuk Salamon Selamat berkata, kadar kenaikan gaji itu juga terlalu tinggi dan tidak munasabah, selain tidak seiring dengan pembangunan yang dibawa dalam tempoh lima tahun mereka mentadbir negeri itu.

"Banyak janji yang mereka buat masih tidak ditepati dan pembangunan yang dibawa untuk Selangor juga tidak begitu banyak.

"Kita tengok sahaja pencapaian dari segi perumahan.. dalam tempoh lima tahun berapa banyak sangat rumah kos rendah dibina. Jadi bagi saya kenaikan gaji ini adalah tidak selaras dengan apa yang mereka lakukan," katanya.

Salamon, yang juga bekas timbalan speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, berkata beliau menyokong tujuan kenaikan gaji tersebut, namun kadar kenaikannya mestilah seimbang dengan kenaikan gaji penjawat awam.

"Sekiranya kenaikan gaji mereka terlalu tinggi, bagaimana dengan kakitangan kerajaan... penjawat awam negeri yang juga bertanggungjawab bekerja keras untuk membangunkan Selangor," katanya.

Kenaikan gaji dan elaun bagi menteri besar, exco, speaker, timbalan speaker dan Adun negeri Selangor itu akan berkuat kuasa 1 Januari depan.

Berdasarkan struktur gaji dan elaun yang diluluskan itu gaji menteri besar dinaikkan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker Dun RM6,109.29 kepada RM22,500; timbalan speaker RM3,327.50 kepada RM15,750 dan Adun RM6,000 kepada RM11,250.

Pindaan gaji kali terakhir dilakukan pada 2011. – Bernama


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment