Thursday, July 5, 2012

CADANGAN HUDUD DI JOHOR

Isu cadangan Hudud di Johor terus menjadi isu paling hangat diperkatakan minggu ini. Sokongan demi sokongan terus diterima. Pastinya badan bukan kerajaan (NGO) Islam adalah pihak paling gembira dengan cadangan ini, sekaligus menawarkan khidmat bantuan nasihat dan pandangan.

Hari ini, dalam akhbar Sinar Harian, beberapa pihak lagi memberi reaksi. Ia termasuklah Kerajaan Kedah, Perkasa, Murshid dan Ilmu. Berikut adalah petikan pandangan mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, pihaknya akan patuh pada ketetapan Pas Pusat berhubung perkara itu. Bagaimanapun, perkara berkaitan hudud lebih sesuai dibincangkan di peringkat mufti atau ulama untuk lebih kefahaman, berbanding membincangkan pihak mana terlebih dahulu melaksanakannya.

Setiausaha Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, pihaknya menyokong penuh cadangan ini. Walau bagaimanapun, Perkasa tidak bersetuju sekiranya hukum hudud itu dilaksanakan ‘ala’ Pas.

Pihak Multaqa Asatizah & Pendakwah Malaysia (Murshid) pula menawarkan kesediaan membantu mana-mana pihak yang ingin melaksanakan hukum hudud Islam itu. Namun, sebelum itu, pelbagai aspek perlu diambil kira bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjadi isu berbangkit.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu) yang diwakili Pengerusinya, Fathul Bari Mat Jahaya sebulat suara menyokong cadangan itu, sekali gus menawarkan penglibatan Ilmu secara sukarela dalam  membantu melicinkan proses perlaksanaan hukum hudud di Johor. Sebagai langkah awal, Ilmu memutuskan untuk mengeluarkan surat rasmi kepada Umno Johor yang mengutarakan pendapat dan cadangan Ilmu berhubung perkara tersebut.

KD: Apa yang dibimbangkan, isu ini dipolitikkan. Hanya pandai cakap, tetapi tiada satu pun tindakan diambil. Kalau begitulah, memang tidak wajar. Ini kerana, isu agama bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah dan dipermainkan. Semua yang berkenaan pasti sudah maklum. Jangan kerana obses dengan politik, hal agama dibolak-balikkan.

Yang penting, KD percaya jika sesuatu perkara diusulkan dengan niat yang baik dan murni, diselaraskan dengan sokongan dan kerjasama dari semua pihak, pasti ia dapat dilaksanakan dengan lancar serta praktikal. 

No comments:

Post a Comment