Tuesday, May 14, 2013

KEKALKAN KUASA POLITIK MELAYU

KUALA LUMPUR - Resolusi Wacana Post Mortem Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13): Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak esok untuk diambil tindakan bagi menjaga perpaduan dan hak bangsa Melayu.

Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, resolusi itu juga menggesa kuasa politik bangsa Melayu dikekalkan menerusi kerjasama erat parti-parti politik Melayu di negara ini.
"Kita tidak lagi mahu bangsa Melayu diperkotak-katikkan, bangsa Melayu mesti tegas, mesti lebih pintar.

"Saya menyeru kerajaan mendengar saranan daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu terutamanya Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang merupakan gabungan 287 NGO Melayu dengan 3.2 juta keahlian.

"Harapan kita kepada kerajaan adalah laksanakan amanah agar kesannya sampai ke akar umbi, baik daripada segi kuota bumiputera, bantuan pelajaran dan juga biasiswa kepada bumiputera," katanya kepada pemberita selepas program wacana itu di sebuah hotel di Menara Mara di sini hari ini.

Penganjuran wacana itu adalah inisiatif Gerakan Kesedaran oleh Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bagi membincangkan hala tuju politik untuk kepentingan survival ummah di Malaysia.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia, Datuk Zaini Hassan dan Presiden GPMS, Jais Abdul Karim.

Ia dihadiri lebih 1,000 peserta terdiri tokoh Melayu, pensyarah, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional, korporat, ahli politik dan golongan muda.

Menurut Kamaruddin, kerajaan perlu mentadbir negara mengikut semangat Perlembagaan Persekutuan dan tidak melayan mana-mana tuntutan yang menidakkan hak bumiputera.

"Kita semua tahu DAP telah mengumpulkan sokongan majoriti kaum Cina, apa yang penting adalah Pas dan UMNO mesti bergabung atau sekurang-kurangnya bekerjasama termasuk dengan ahli politik Melayu Parti Keadilan Rakyat (PKR), NGO Melayu akan cuba membantu usaha ini," katanya.

Sementara itu, paling mencuri tumpuan dalam program wacana berkenaan adalah kemunculan seorang tokoh Orang Asli, Datuk Dr. Hashim Muhammad yang menyeru Melayu bersatu-padu.

"Aku adalah orang Sakai suku Jakun yang pertama menjadi cikgu, aku masuk Maktab Perguruan Sultan Idris, aku belajar apa yang aku tak tahu cakap, akhirnya atas kuota Melayu aku dapat buat," katanya yang juga tokoh pendidikan.

Menurutnya, Orang Asli menerima banyak nikmat hasil perjuangan orang Melayu memerdekakan negara dan mereka perlu kekal bersatu bagi menjaga kepentingan hak bangsa serta kemakmuran negara. – Utusan Online
NAJIB MAHU WAKIL CINA DALAM KABINET
PETALING JAYA: Wakil Cina dalam Kabinet yang dijangka akan diumumkan esok, masih menjadi keutamaan bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memilih pasukan pentadbirannya.

Difahamkan Najib telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bersama dengan pemimpin parti komponen BN termasuk wakil pemimpin senior Umno berhubung dilema yang dihadapi selepas MCA enggan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan selepas keputusan yang kurang memberansangkan dicatatkan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

MCA hanya memenangi tujuh daripada 37 kerusi Parlimen yang ditandinginya dan dalam mesyuarat agung luar biasa parti itu tahun lalu memutuskan resolusi bahawa sekiranya mereka tidak dapat mencipta keputusan yang lebih baik daripada pilihan raya umum 2008 mereka tidak akan menerika sebarang jawatan dalam jabatan kerajaan.

Bagaiamanapun, difahamkan Najib masih mahu mengekalkan konsep kepelbagaian kaum dalam BN yang memerlukan wakil Cina dalam Kabinet.
Barisan Kabinet yang baru dijangka akan mengangkat sumpah di Istana Negara pada Khamis.

Gerakan merupakan sebuah parti pelbagai kaum namun didominasi oleh kaum Cina, kini hanya mempunyai seorang wakil di Dewan Rakyat bagi kerusi Parlimen Simpang Renggam di Johor.


Turut kedengaran spekulasi mengatakan Najib masih mengosongkan beberapa jawatan Kabinet untuk dipegang oleh MCA apabila mereka telah bersedia untuk memegang jawatan berkenaan.

Sementara itu, Najib, boleh menjadi penjaga kepada dua jawatan menteri di kementerian berkenaan.

Satu lagi cadangan ialah Najib melantik tokoh akademik Cina terkenal atau tokoh perniagaan sebagai menteri.

Selain itu, Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengekalkan tiga-tiga Naib Presiden Umno dalam Kabinet yang terdiri daripada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Ada juga cakap-cakap yang mengatakan Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel dan timbalannya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam akan dilantik menyertai Kabinet selepas mereka masing-masing memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dan Segamat.

Najib juga mempunyai pilihan untuk melantik semula Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala kerana tempoh pelantikannya sebagai senator hanya akan tamat pada 2015.

Sebelum pilihan raya umum, terdapat 10 senator yang memegang jawatan serta portfolio sebagai menteri dan timbalan menteri

Mencari calon wanita dalam Kabinet juga tidak menjadi satu masalah.

Antara pelopor yang dijangka akan dilantik sebagai menteri ialah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Noriah Kasnon, Datuk Halimah Sadique yang memenangi kerusi Parlimen Tenggara serta bekas Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Najib juga dijangkan mempertimbangkan penyertaan muka-muka baru dalam Kabinet termasuk mereka yang mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta tokoh korporat ternama yang dapat memperbaiki pengurusan ekonomi negara.

Antara nama yang menjadi sebutan ialah Pengarah Urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar.

Bagi mencari wakil generasi muda Malaysia dalam Kabinet, Perdana Menteri boleh membuat pilihan termasuk memilih Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, Khairy dan Abdul Rahman merupakan calon sesuai yang dapat menarik minat pengundi muda.

"Untuk mendapat sokongan orang muda, anda perlu menteri yang bersikap vokal dan tidak takut untuk berterus-terang, kerana pada mas kini tidak ramai pemimpin seperti mereka dalam barisan Ahli Parlimen sedia ada. Ini akan menimbulkan masalah," katanya.

Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS) Tan Sri Ramon Navaratnam berkata ramai pihak berharap barisan Kabinet yang baru akan terdiri daripada pemimpin yang bijak, layak, muda serta jujur yang berfikir serta meletakkan kepentingan rakyat Malaysia di hadapan.- mStar
TIADA MASALAH JIKA TIDAK ADA SUARA CINA DALAM KERAJAAN - AHLI AKADEMIK
KUALA LUMPUR - Sekiranya berlaku ketiadaan wakil kaum Cina dalam Kabinet maka ia tidak akan menimbulkan masalah besar kepada kerajaan atau masyarakat Cina, kata seorang ahli akademik hari ini.

Dr Ser Wue Hiong, pensyarah kanan Jabatan Pengajian Bahasa Asing di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata jika senario itu berlaku maka sebarang kebimbangan hanya untuk jangka masa pendek dan boleh diatasi.

MCA dan Gerakan mengambil keputusan tidak mahu menerima jawatan dalam Kabinet atas dasar 'menghormati keputusan pengundi' selepas kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu mencapai prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lepas.

Pendirian kedua-dua parti itu telah menimbulkan persoalan daripada semua pihak.

Sebilangan pihak khuatir masyarakat itu akan dipinggirkan sekiranya mereka tidak mempunyai suara dalam Kabinet manakala ramai termasuk Ser mempunyai pandangan sebalik.

Ser memberitahu Bernama bahawa hakikat pengundi Cina menolak calon MCA dan Gerakan membuktikan isu wakil Cina dalam Kabinet juga tidak menjadi kebimbangan kepada mereka.

Beliau berkata politik dalam era baharu ini perlu juga berpisah daripada tradisi dan lebih penting lagi, ahli politik yang dipilih harus mewakili semua kaum dan bukan bangsa tertentu atau parti politik.

Katanya ahli politik yang hanya memperjuangkan untuk sesuatu kaum sahaja bukan sesuatu yang baik dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Saya fikir ini adalah realiti di Malaysia hari ini. Kita perlu beralih daripada tradisi," katanya.

Ser, seorang pakar dalam pengajian kaum Cina di Malaysia, berpendapat sektor yang mungkin mempunyai kesan ialah pendidikan Cina tetapi masalah itu mungkin hanya sementara sahaja.

Beliau yakin Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri untuk semua dan dengan pendekatan 1Malaysia, beliau tidak akan meminggirkan pembangunan masyarakat Cina termasuk pendidikan Cina selepas PRU13.

"Saya percaya beliau akan melakukan perubahan dan melihat pendekatan baharu bagi memenuhi keperluan dan kepentingan pendidikan Cina.

"Salah satu cara yang boleh saya lihat ialah beliau akan melantik seorang pendidik Cina untuk duduk dalam kerajaan bagi menjaga pendidikan Cina," katanya.

Sebelum ini, seorang timbalan menteri Cina memegang portfolio untuk menjaga pendidikan Cina. - Bernama/Sinar Harian
PASCA PRU13: RAMAI PUJI IDEA GABUNGKAN PARTI KOMPONEN BN

PETALING JAYA: Idea politik berasaskan kaum dengan menyatukan pemimpin daripada Umno, MCA dan MIC dilihat sebagai usaha perdamaian selepas Malaysia menghadapi pilihan raya umum merupakan salah satu usaha yang perlu diterokai oleh Barisan Nasional, kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Khairy, yang juga Ketua Pemuda Umno berkata BN wajar menerokai semua kemungkinan termasuk mengabungkan pemimpin di kalangan parti komponen bagi memastikan usaha perdamaian pasca PRU-13 lebih relevan.

"Tidak ada satu idea yang tidak baik pada ketika ini. Kita perlu analisis yang lebih komprehensif terhadap keputusan pilihan raya. Selepas itu kita perlu mencari jalan terbaik untuk pembaharuan dalam BN," katanya sambil menambah BN tidak akan dapat melakukan perubahan pada kedudukan sedia ada.

"Kita tidak lagi dapat menarik perhatian pengundi. Kita masih ketinggalan zaman dan kehilangan sentuhan namun perubahan perlu dibuat bukan hanya luaran semata-mata. Dengan hanya menukar nama BN tidak cukup. Rakyat mahukan perubahan secara menyeluruh," katanya pada Isnin.

Dilaporkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah mencadangkan parti komponen BN bergabung menjadi satu parti sebagai sebahagian daripada langkah penjenamaan semula parti itu untuk kekal releval kepada semua rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata BN sedang mengkaji semua cadangan sebagai langkah penjenamaan semula bagi memastikan ia dapat membawa perubahan yang signifikan.

Bagaiamanapun ketika dihubungi, Tengku Adnan enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan.

Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata langkah penggabungan merupakan idea yang baik bagi mengurangkan perbalahan dalaman dikalangan parti komponen dalam BN sekaligus memastikan ia sebuah parti yang sesuai bagi sebuah negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Malaysia.

Turut menyambut baik idea untuk mengakhiri politik berasaskan kaum ialah, Setiausaha Agung MIC, Datuk S.Murugesan dengan menyifatkan ia sebagai langkah yang positif kepada BN.

"Pembangkang sering menuduh kita mempunyai hubungan yang dangkal dan ini akan menutup mulut mereka yang menggelarkan kita parti yang rasis," katanya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah turut bersetuju, beliau berkata langkah tersebut perlu disertai dengan memberi keahlian terus dalam BN sementara parti komponen boleh meneruskan dengan apa yang telah mereka rancangkan.

Beliau berkata secara rasionalnya itulah yang dimahukan oleh ramai pihak terutamanya golongan pertengahan seperti golongan remaja, pelajar serta golongan profesional yang berpendidikan, mereka tidak suka politik berasaskan kaum. - mStar

PASCA PRU13: JANGAN SALAHKAN DR CHUA SAHAJA

GEORGE TOWN: MCA Pulau Pinang meminta pihak yang berkenaan agar tidak menyalahkan Presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sepenuhnya atas prestasi buruk MCA pada pilihan raya umum ke-13 lepas.
 
Timbalan Pengerusi MCA Pulau Pinang Datuk Dr Loh Hock Hun berkata sebaliknya semua pihak harus memikul tanggungjawab itu selain berpegang kepada keputusan parti untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan.

"...kami tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam perkara ini dan kami tetap bertanggungjawab dan akan terus menjalankan tanggungjawab kami kepada kaum Cina di negeri ini," katanya pada sidang media, di sini, Selasa.

Loh berkata demikian sebagai menyokong kenyataan Dr Chua yang hanya akan berundur selepas selesai penyusunan semula parti selain bertegas MCA tidak akan menerima jawatan dalam kerajaan.

Dr Chua juga dilapor tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti kali ini.

Menurut Loh, MCA Pulau Pinang juga mahu proses pemilihan parti yang bermula bulan depan berlangsung dalam suasana baik dan demokrasi.

Ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tetap mahu wakil kaum Cina dalam kabinet, Loh berkata mereka menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan tertinggi MCA. –BERNAMA/mStar
PEMIMPIN MUDA DALAM KABINET CERMIN LANDSKAP POLITIK SEMASA
KUALA LUMPUR - Pengundi muda banyak mempengaruhi keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang dimenangi Barisan Nasional (BN) minggu lepas dan senario ini seharusnya diterjemahkan kepada penyertaan lebih ramai pemimpin muda dalam Kabinet baharu kerajaan.
  
Bagi penganalisis, langkah mengiktiraf pemimpin muda sebagai pentadbir negeri seperti Datuk Mukhriz Tun Mahathir di Kedah, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Johor dan Datuk Idris Haron di Melaka, mencerminkan kerajaan pimpinan  BN bergerak seiring dengan perubahan landskap politik negara.
  
Penganalisis politik turut berhujah tentang perlunya pemimpin muda itu memiliki kriteria seperti proaktif, kreatif dan konstruktif jika dipilih menerajui sesebuah kementerian.
  
Pengarah Pusat Dasar Teknologi dan Kajian Antarabangsa, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Azmi Hassan berkata pemimpin muda yang diangkat sebagai menteri perlu mampu berkomunikasi secara berkesan terutama menerusi alam siber.
  
"Selain itu, kementerian melibatkan orang muda seperti Kementerian Belia dan Sukan memerlukan menteri yang bijak memenuhi kehendak dan kecenderungan generasi muda," katanya.
 
Azmi berkata kerajaan juga perlu mempertimbang meletakkan menteri muda di kementerian melibatkan komunikasi yang menjadi tunjang penyaluran maklumat sahih selain menangkis maklumat berbentuk penipuan dan tohmahan terutama di Internet.
  
"Masalah sekarang ialah golongan muda lebih mempercayai maklumat tidak sahih yang tersebar dalam Internet berbanding apa yang disalurkan media arus perdana," katanya sambil menekankan, perkara ini perlu diberi perhatian serius.
  
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugam Pandian mencadangkan kerajaan mewujudkan Kementerian Perpaduan dan Kewarganegaraan yang diterajui pemimpin muda ke arah memastikan keamanan dan semangat muafakat masyarakat pelbagai bangsa di negara ini terus terpelihara.
  
"Apabila meletakkan orang muda, kita akan dapat lihat hasil berbeza yang selari dengan cara pemikiran generasi masa kini kerana mereka (pemimpin muda) lebih memahami cara serta kehendak orang orang muda sekarang," jelasnya.  – Bernama/Sinar Harian
KABINET TRANSFORMASI NAJIB

Namakanlah apa sahaja sama ada Kabinet Transformasi atau sebarang nama lain, barisan jemaah menteri pasca PRU13 seharusnya adalah pasukan terbaik dan paling mantap untuk memperkasakan semula BN menghadapi PRU14.

Ini kerana tanpa barisan terkuat, sukar bagi kerajaan untuk menangkis serangan pembangkang yang turut membariskan barisan bertenaga bagi mengasak BN yang sudah masuk penggal kedua bertahan tanpa majoriti dua pertiga.

Di pihak rakyat pula, kita semua tertunggu-tunggu, siapakah yang bakal mengisi barisan terkuat itu? Kalangan pemerhati menjangka Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumum senarai itu hari ini atau selewat-lewatnya esok.

Meskipun menamakan anggota Kabinet adalah prerogatif Perdana Menteri (untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong), namun sebagai pelanggan kepada kerajaan, kita juga mempunyai hak untuk menyuarakan harapan malah menyediakan senarai bayangan siapa yang kita fikir layak berada dalam senarai itu.

Pada masa yang sama, kita juga fahami kriteria dan aspek yang perlu diberi pertimbangan Najib selaku ketua parti dan juga ketua kerajaan yang memenangi pilihan raya bukan dengan majoriti yang benar-benar kukuh.

Situasi ini memerlukan beliau benar-benar teliti termasuk untuk mencegah api rasisme yang sudah mula ditiupkan oleh pihak tertentu sehingga mencetuskan apa yang dipanggil tsunami Cina pada pilihan raya lalu.

Sehubungan itu, Kabinet baru ini seharusnya mampu untuk mengembalikan keyakinan rakyat dengan ciri-ciri keseimbangan yang boleh diterima oleh semua pihak.

Di Jabatan Pengarang Sinar Harian petang semalam, setelah jenuh berbincang dengan berbagai-bagai hujah untuk menyokong pilihan masing-masing, kami ketengahkan senarai anggota Kabinet Transformasi yang difikirkan layak.

Di Jabatan Perdana Menteri, barisan sedia ada yang terdiri daripada Datuk Seri Mohd Nazri Aziz, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili masih boleh dikekalkan dengan portfolio masing-masing.

Jamil Khir malah mempunyai kedudukan yang lebih kukuh berbanding penggal lalu kerana beliau kini tidak lagi bersandar pada kerusi Ahli Dewan Negara (Senator). Kejayaannya merampas kerusi Parlimen Jerai dari tangan Pas harus diberi pengiktirafan.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan pula sudah sampai masa untuk dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh, kekal di JPM. Walaupun MCA sebagaimana yang diumumkan oleh presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sudah membuat ketetapan untuk menolak jawatan dalam kerajaan, Sinar Harian berpendapat wakil parti itu yang menang tidak seharusnya dipinggirkan.

Pemimpin seperti timbalan presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pemuda, Datuk Dr Wee Ka Siong masih perlu diberi tempat dalam kerajaan. Mereka juga dilihat barisan pelapis yang berkeupayaan untuk menongkah tsunami Cina yang sedang melanda.

Tiong Lai harus diberi pertimbangan untuk menduduki portfolio tradisi MCA sebagai Menteri Pengangkutan manakala Dr Wee mengambil alih portfolionya sebagai Menteri Kesihatan.

Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel yang baru menang kerusi Parlimen Cameron Highlands pula boleh mengambil semula portfolio Kerjaraya yang sebelum ini cukup sinonim dengan Datuk Seri S Samy Vellu. Pada penggal lalu, kementerian itu dipegang oleh Umno menerusi Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Datuk S Subramaniam yang mengekalkan kerusi Parlimen Segamat, dikira paling sesuai untuk kekal juga sebagai Menteri Sumber Manusia. Dari Sabah, Datuk Anifah Aman dianggap cukup berkeupayaan untuk dikekalkan sebagai Menteri Luar.

Dari Sarawak pula selain mengekalkan Datuk Seri Douglas Uggah Embas sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Fadzillah Yusoff dikira layak untuk naik pangkat sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Sebelum ini, beliau timbalan menteri di kementerian berkenaan.

Bagi memperkasakan lagi bidang pertanian dan industri asas tani sekali gus mendekatkan lagi kerajaan dengan masyarakat luar bandar yang setia menyokong ketika pengundi bandar mula beralih arah, menteri yang diberi tanggung jawab itu juga seharusnya daripada kalangan pemimpin kanan parti. Untuk itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal dikira sesuai.

Ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menduduki kerusi yang sama dalam Umno, beliau juga pernah diberi portfolio ini pada era kerajaan Pak Lah. Dua lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dijangka akan dikekalkan jawatan lalu.

Bekas Menteri Kerjaraya, Shaziman pula mungkin akan mengambil alih teraju Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Ini kerana ketetapan MCA untuk menolak jawatan Kabinet dilihat paling banyak boleh diisi wakil parti itu hanya dua kerusi menteri.

Datuk Noriah Kasnon yang berjaya mengekalkan rekod cemerlang di kerusi Parlimen Sungai Besar, wajar diberi pertimbangan untuk naik pangkat sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dalam pada itu, muka baru yang dikira tidak dapat tidak harus berada dalam Kabinet termasuk Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Meskipun kali pertama, Khairy harus diberi pertimbangan untuk lantikan sebagai menteri penuh. Kementerian paling sesuai dengannya jika bukan Belia dan Sukan ialah di Angkasapuri (Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan).

Idris pula sebagai Menteri Pelajaran. Ini mengambil kira kesan besar yang ditinggalkannya di Terengganu menerusi pelbagai program kecemerlangan seperti program Ulul Albab yang kemudian diteruskan di MRSM sejak beliau memegang jawatan Pengerusi Mara. Juga kejayaannya mengilhamkan Sekolah Imtiaz yang menggabungkan pendidikan Islam dan sains di bawah Yayasan Terengganu (YT).

Dari Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dijangka paling sesuai untuk isi portfolio sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Ini sebagai hadiah kepada Umno Kedah yang berjaya ambil alih pemerintahan negeri daripada PR dan sehubungan itu, usaha untuk menggiatkan pembangunan kawasan luar bandar negeri itu harus diberi perhatian.

Dari Wilayah Persekutuan, Datuk Johari Abdul Ghani dijangka akan mengisi slot sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Ini menepati isu yang perlu diperjuangkannya sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa di mana isu Kampung Baru menjadi fokus sejak sekian lama.

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dijangka kekal dengan portfolionya. Mungkin kejutan, Datuk Saifuddin Abdullah yang tewas pada pilihan raya lalu masih diperlukan. Malah beliau wajar dilantik Senator dan Menteri Pengajian Tinggi memandangkan keupayaannya mendekati dan memahami golongan pelajar universiti sebagai langkah mendekatkan mereka dengan kerajaan.

Menidakkan Saifuddin dengan fungsi itu seolah-olah membiarkan jurang pelajar dan kerajaan semakin melebar. Datuk Seri Noh Omar hampir pasti kekal dalam Kabinet dengan portfolio Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Datuk Seri Mustapa Mohamed mungkin sebagai Menteri Kewangan manakala Datuk Seri Husni Hanadzlah ke MITI. Dalam pada itu, pada barisan timbalan antara yang boleh diketengahkan termasuk Datuk Irmohizam Ibrahim, juga Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Rahim dijangka mengisi salah satu kerusi timbalan menteri. Ya, benar agak ramai muka lama masih berada dalam Kabinet ramalan Sinar Harian.

Inilah transformasi di mana peralihan harus dibenarkan berlaku secara lancar dan teratur daripada yang lama kepada yang baru. Dalam beberapa tahun, mungkin sesingkat dua tahun akan datang, mungkin akan ada peralihan lagi.

-Muhamad Mat Yakim, Sinar Harian