Friday, November 29, 2013

TAK RASIONAL GAJI MB SELANGOR LEBIH TINGGI DARI PM
 
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Selangor menyifatkan kenaikan gaji Menteri Besar Selangor yang baru adalah tidak rasional kerana melebihi gaji Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, kenaikan gaji Menteri Besar Selangor yang mencecah RM29,250 berbanding gaji lamanya RM 14,175.15 adalah tidak rasional.

"Kepentingan rakyat perlu diutamakan memandangkan ketidaktentuan ekonomi negara yg tidak menentu. Saya juga melihat kenaikan ini sangat melampau kerana gaji Menteri Besar lebih tinggi daripada gaji Perdana Menteri sedangkan skop tugas Menteri Besar hanya negeri semata-mata.

"Pada hemat saya, kenaikan gaji dan elaun bulanan Menteri Besar, Exco dan Adun Selangor adalah tidak wajar dan saya melihat tiada rasional keputusan Dun Selangor meluluskan," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kata beliau, kerajaan Selangor sepatutnya mendahulukan kepentingan rakyat sekiranya, negeri tersebut mempunyai kewangan yang kukuh.

"Kerajaan Selangor belum mampu mengagihkan kekayaan ke seluruh negeri dan masih ada kawasan belum dimajukan dan ada di kalangan rakyat Selangor hidup menderita.

"Kerajaan negeri mendabik dada seolah-olah sudah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat walhal cukai pintu naik, pengangguran masih tinggi dan infrastruktur masih belum sempurna. Saya sendiri mengalami di Parlimen Kuala Selangor apabila mendengar rintihan rakyat," katanya.


Sumber: Sinar Harian

Thursday, November 28, 2013

KENAIKAN CUKAI PINTU DBKL TIDAK DITANGGUH, BERKUATKUASA 1 JANUARI 2014 - TENGKU ADNAN

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan kenaikan kadar baharu cukai taksiran pintu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan ditangguh sebaliknya berkuat kuasa pada 1 Januari depan.

Beliau berkata mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan kenaikan itu boleh mengemukakan bantahan atau rayuan kepada DBKL sebelum 17 Disember ini.

Bagaimanapun, Tengku Adnan menjelaskan bahawa pembayar cukai boleh menangguhkan pembayaran sehingga bulan Mac 2014, iaitu selepas DBKL mendengar bantahan daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu.

"Kami boleh menangguhkan pelaksanaannya kerana pada 17 Disember, kami akan mendengar semua bantahan dan Datuk Bandar serta panelnya akan mengadakan satu prosiding yang dijangka memakan masa sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sebahagian Jalan Segambut yang dinaik taraf di sini Khamis.

Pada Rabu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr J.Loga Bala Mohan memaklumkan persidangan Dewan Rakyat bahawa kenaikan kadar baharu cukai pintu DBKL akan ditangguh sehingga Mac tahun depan bagi membolehkan sesi pendengaran bantahan dilaksana mulai Januari depan, yang dianggar mengambil masa tiga bulan.

Tengku Adnan juga berkata kajian semula kadar baharu cukai berkenaan akan dibuat berdasarkan kadar sewaan dan bukan mengikut nilai hartanah kerana ia lebih adil selain memberi kebaikan kepada rakyat.

Beliau berkata tindakan itu memberi keuntungan kepada rakyat kerana cukai pintu akan ditaksir berdasarkan nilai sebenar hartanah.

"Saya menaikkan kadar sewaan (cukai pintu). Bagi tempoh 21 tahun lepas, mereka mungkin mengutip sewa sebanyak RM6,000 (sebulan), dan kini dengan kadar baharu cukai pintu, mereka boleh menyewakan (hartanah mereka) pada kadar lebih tinggi, mungkin RM7,000 (sebulan). Jadi, mereka tahun nilai sebenarnya," katanya.

Tengku Adnan turut memperjelas kaedah atau struktur cukai mengikut kadar sewaan hartanah.

"Katakan anda mendapat sewaan sebanyak RM500, anda kali dengan 12 dan anda dapat RM6,000. Kami kenakan caj sebanyak enam peratus bagi jumlah itu. Katakanlah kadar sewaan anda ialah RM1,000 dan bukan RM500 sebulan, jadi RM1,000 akan jadi RM12,000 maka kami akan caj enam peratus bagi jumlah ini," katanya.

Beliau juga berkata DBKL mengambil beberapa langkah seperti menghantar petugas melakukan pemantauan, menggunakan ejen hartanah, membuat iklan dan kaji selidik melalui telefon bagi menentukan keberkesanan kajian semula kadar cukai pintu mengikut kadar sewaan semasa. - BERNAMA


Sumber: mStar Online

HARI NUZUL AL-QURAN HARI KELEPASAN AM KETIGA-TIGA WILAYAH PERSEKUTUAN MULAI 2014

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengisytiharkan Hari Nuzul al-Quran sebagai hari kelepasan am bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula tahun depan.

Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Khamis mengumumkan hari kelepasan am tersebut telah pun diwartakan mengikut Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369).

Selain itu, kerajaan turut menetapkan satu hari kelepasan am tambahan bagi ketiga-tiga Wilayah Persekutuan tersebut pada 3 Februari 2014, iaitu pada hari Isnin, berikutan pertindihan cuti Hari Wilayah Persekutuan dengan hari kedua Tahun Baru Cina yang jatuh pada pada hari Sabtu, 1 Februari, 2014.

Menurut kenyataan itu, pengisytiharan cuti am tambahan bagi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah berdasarkan Seksyen 9(2) akta yang sama.

"Pengumuman ini diharapkan membolehkan orang ramai membuat perancangan awal," menurut kenyataan itu. – BERNAMA


Sumber: mStar Online
NAIK GAJI ADUN SELANGOR: ANWAR TEGUR KHALID
 

KUALA LUMPUR - Tindakan Kerajaan Negeri Selangor menaikkan gaji Adun sehingga mencecah 300 peratus turut mendapat teguran Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menyifatkan kenaikan itu terlalu tinggi dan mendadak, Anwar berkata  demikian mengulas kenaikan itu adalah tidak wajar.

"Kita setuju dengan kenaikkan tersebut pada dasarnya sebab sudah lama tidak dinaikkan. Kita kena teliti supaya jangan lebih banyak tumpu untuk kenaikan sahaja.

"Sepatutnya kita perlu utamakan bagaimana cara untuk  berkhidmat. Saya fikir kenaikkan tu agak tinggi dari yang diura-urakan," katanya.

Sehubungan itu katanya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim perlu memberikan penjelasan secara terperinci.

"Saya minta untuk dia (Khalid) beri penjelasan kepada media apa asasnya (kenaikan gaji) dan teliti semula," ujarnya.

Bagaimanapun ketika ditanya berkenaan kenaikan itu sama ada berlaku desakan daripada mana-mana pihak, Anwar berkata kenaikan itu hnaya mengambil kira kerana tempoh yang lama tidak dinaikkan gaji terhadap pimpinan negeri itu.

"Memang kenaikkan di semua negeri pernah dibangkitkan, tapi tidak ada perbincangan dengan teliti bagi mempertimbangkan dan menelitinya.

"Kalau dibandingkan dengan gaji kawasan Parlimen lain lebih rendah. Sebagai contoh, tengok pejabat Ketua Pembangkang, semua 32 pegawai ada di situ," kata beliau.

Semalam, usul kenaikan gaji Adun, Exco, Speaker, Timbalan Speaker dan Menteri Besar diluluskan menerusi Rang Undang-Undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 1980 yang dibacakan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim pada sidang Dun.

Gaji dan elauan bulanan pimpinan Selangor itu dinaikkan antara 87 peratus hingga 373 peratus bermula Januari tahun depan.

Kali terakhir gaji dan elaun dipinda pada 2011, tetapi hanya membabitkan kenaikan Adun seanyak 46 peratus, iaitu daripada RM4,112.79 kepada RM6,000.


Sumber: Sinar Harian