Friday, December 27, 2013

HAPUS REBAT TOL: TOUCH ‘N GO TUNGGU KEPUTUSAN KERAJAAN

SHAH ALAM -  Syarikat pengendali sistem pembayaran elektronik, Touch 'n Go Sdn Bhd tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada tawaran rebat sebanyak 20 peratus bagi pengguna lebuh raya diterus atau dimansuhkan.

Menurut sumber, semua keputusan hanya akan diputuskan kerajaan dan Touch 'n Go  tidak menerima sebarang arahan berhubung perkara itu.

"Kami masih menjalankan kerja-kerja operasi dan pengurusan seperti biasa.

"Kami tidak tahu jika ia akan di mansuh atau diteruskan, ia bergantung sepenuhnya kepada kerajaan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, jika kerajaan mengambil langkah untuk memansuhkan rebat tersebut, ia boleh dilakukan terus tanpa notis.

"Memandangkan ini adalah hadiah daripada kerajaan kepada rakyat, jadi itu hak mereka untuk terus atau sebaliknya.

"Pengurusan Touch 'n Go tidak berhak untuk memberi sebarang kenyataan berhubung hal ini," katanya.

Ditanya mengenai perkara pemansuhan rebat yang sudah tersebar sehingga ke pengetahuan pegawai bertugas di pejabat operasi lebuh raya,  Touch 'n Go tidak mengetahui perkara tersebut.

"Kami tidak tahu apa-apa mengenai perkara ini, bagaimana mereka (pegawai) sudah tahu dulu?

"Mungkin mereka dengar khabar angin daripada orang lain dan bukannya daripada pengurusan. Walau apa pun, kami tidak menyalahkan mana-mana pihak dan berharap perkara ini tidak menjadi spekulasi," katanya.

Sumber: Sinar Harian

MANSUH REBAT TOUCH ‘N GO BUKTI KELEMAHAN KERAJAAN

SEREMBAN - Pemansuhan rebat Touch ‘n Go digembar-gemburkan berlaku hujung tahun ini didakwa menjadi bukti pelengkap kelemahan kerajaan dalam mentadbir ekonomi negara.

Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, seandainya pemansuhan itu benar-benar dilaksanakan, maka tiada lagi keistimewaan yang tinggal selepas ini untuk dinikmati oleh rakyat.

“Jelas sekali, mereka (kerajaan) benar-benar mahu menekan rakyat. Mana tidaknya, pemberian sekecil ini pun mereka hendak tarik balik selepas menyedari kewujudannya mula menjadi perhatian ramai.

“Sepatutnya, mereka perlu berterima kasih kepada setiap pemilik Touch ‘n Go kerana telah menyumbangkan dana awal kepada kerajaan melalui pembelian kad berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Dalam pada itu, mengulas syarat dikenakan terhadap pemegang kad sebelum boleh menikmati rebat disediakan, beliau menyifatkannya sebagai terlalu tinggi dan tidak masuk akal.

“Penggunaan 80 kali sebulan ditetapkan adalah keterlaluan. Jika mengambil kira 20 hari bekerja, seseorang itu perlu mengikut jalan bertol sekurang-kurangnya empat kali sehari untuk mencapai jumlah tersebut.

“Dalam hal ini, mereka seolah-olah tidak ikhlas mahu memberikan rebat, selain dilihat cuba memeras wang rakyat khususnya pengguna lebuh raya. Kita berpendapat, lebih sesuai jika jumlahnya dikurangkan kepada 40 kali penggunaan sebulan, itu pun jika tidak dimansuhkan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian