BUMIPUTERA PULAU MUTIARA PERLU DIBELA
Belum pun habis sepenggal kerajaan
pakatan pembangkang yang diterajui DAP mentadbir Pulau Pinang, kesannya sudah
dirasai penduduk Melayu Islam di negeri itu. Kajian terbaru mendapati orang
Melayu Islam semakin terpinggir dan jumlahnya semakin berkurangan. Lebih 18,000
orang Melayu Pulau Pinang terpaksa angkat kaki keluar dari negeri berkenaan
kerana tidak mampu menampung kos sara hidup yang semakin meningkat dan membeli
rumah di negeri kelahiran mereka. Sebelum ini di bawah pemerintahan kerajaan
Barisan Nasional (BN), kehidupan orang Melayu tidaklah begitu tenat.
Sepanjang tempoh BN memegang teraju
kepemimpinan negeri, ada banyak projek perumahan kos rendah dan sederhana
dibangunkan. Antaranya di Tanjung Tokong, Balik Pulau, Tanjung Bungah, Batu
Uban, Jelutong dan Bayan Lepas. Projek itu dibangunkan oleh beberapa agensi
kerajaan negeri dan Persekutuan seperti Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang
(PDC), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau
Pinang (PERDA) dan JKP Sdn Bhd di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan.
Pendedahan bekas Timbalan Ketua Menteri
1 Pulau Pinang, Dr Mohammad Fairus Khairuddin kelmarin, mengenai perkara itu
pastinya membimbangkan, apatah lagi usaha secara halus itu benar-benar
menghakis kedudukan orang Melayu-Islam di Pulau Pinang, sekali gus menghakis
kuasa politik Melayu.
Jelaslah ada agenda tersusun, terancang
dan halus untuk meminggirkan serta mengusir orang Melayu dari kawasan
strategik. Akibatnya, penduduk Cina kini menjadi kaum majoriti, iaitu seramai
670,000 atau 42.9 peratus pada 2010, manakala Melayu hanya 40.7 peratus
berbanding 42.4 peratus pada 2009, manakala kaum Cina ketika itu hanya 40.9
peratus.
PDC yang dipengerusikan oleh Ketua
Menteri Pulau Pinang sepatutnya memberi keutamaan kepada usaha memenuhi
keperluan perumahan rakyat bawahan sebaik saja diberi mandat memerintah, bukannya
menunggu satu jangka masa lama untuk membangunkannya.
Mungkin dalam perancangan kerajaan
negeri ada projek perumahan tertentu yang akan dibangunkan tetapi sehingga kini
masih belum nampak hasilnya, sehinggakan ramai penduduk Pulau Pinang, terutama
Melayu terpaksa berhijrah ke negeri jiran demi meneruskan kehidupan
masing-masing. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga sering mengajukan
pertanyaan kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengenai projek perumahan rakyat
miskin dan golongan sederhana selepas empat tahun DAP memerintah Pulau Pinang.
Namun, tiada tindakan, ibarat masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Jika
adapun di Balik Pulau yang mana ada majoriti penduduk Melayu dengan harga
rumahnya RM500,000 ke atas.
Secara purata, harga rumah yang terlalu
tinggi itulah antara sebab ramai orang Melayu berhijrah ke negeri jiran sejak
2010. Agenda licik ini harus dihentikan segera demi kepentingan rakyat
berbilang kaum. Malah, Kerajaan Pusat harus campur tangan bagi
menyelamatkan orang Melayu-Islam daripada terus terpinggir dan lenyap di bumi
Pulau Pinang.
(Sumber: Minda Pengarang BHarian
22/05/2012)
KD: Ayuh orang Melayu Pulau Mutiara, bukalah mata &
minda seluas-luasnya.. jangan dibiarkan tergadai maruah anak bangsa.. jangan
sampai ‘sudah terhantuk baru tergadah’..
No comments:
Post a Comment