KUALA TERENGGANU 19 Mei -
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan sekarang adalah
waktu paling sesuai bagi menjayakan muzakarah antara parti itu dengan UMNO.
Katanya, ia wajar diadakan
sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13, namun, menegaskan usaha ke arah itu tidak
bermaksud membawa penyatuan atau kerjasama politik antara dua parti itu.
"Lebih baik ia diadakan
sebelum pilihan raya umum akan datang," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Kuala Terengganu Ke-37 di Markas
Tarbiyah Pas di Kuala Ibai dekat sini hari ini.
Turut hadir, Pesuruhjaya Pas
Terengganu, Abdul Wahid Endut.
Rabu lalu, Nik Abdul Aziz
menyatakan persetujuannya agar Pas membuka pintu untuk bermuzakarah dengan
mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk UMNO.
Kenyataannya itu mendapat
reaksi positif Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa UMNO
bersedia untuk bermuzakarah dengan Pas asalkan tujuannya bagi kepentingan
ummah, masyarakat Islam dan negara.
Walaupun Nik Abdul Aziz
dilaporkan bersyukur dengan kesediaan UMNO menerima pelawaan itu, Presiden Pas,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula membayangkan muzakarah itu sukar menjadi
kenyataan selagi sistem pilihan raya tidak diperbetulkan.
Namun, Nik Abdul Aziz
menjelaskan, Pas tetap dengan pendirian untuk tidak sekali-kali bekerjasama dan
bersatu dengan UMNO walaupun Pas yang menawarkan diri mengadakan muzakarah
tersebut.
Beliau berkata, ini kerana
wujud perbezaan dari segi dasar serta perjuangan antara kedua-dua parti itu
yang menghalang kepada penyatuan dan kerjasama.
Bagaimanapun Menteri Besar
Kelantan itu tidak menafikan sekiranya UMNO bersedia menerima beberapa syarat
tertentu yang dikehendaki Pas, kedua-dua parti berkenaan mampu menjalin
kerjasama dalam satu pakatan demi perpaduan orang Melayu dan umat Islam.
"Kalau UMNO mahu
bersatu dengan Pas, mereka kena tukar dasar kebangsaannya dan gantikan dengan
Islam.
"UMNO juga kena terima
Pas dan pakatan pembangkang," katanya.
No comments:
Post a Comment