Friday, July 27, 2012

KAJIAN UUM: PR DAKWA 'BIAS', BN KATA 'BAGUS'


Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mempersoal peranan Majlis Profesor Negara (MPN) yang menerajui kajian membabitkan isu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana memfokus isu remeh, yang memberi kelebihan kepada Kerajaan Pusat.


Beliau berkata, badan itu sewajarnya memfokus kepada kajian ilmiah yang lebih bermanfaat membabitkan isu pilihan raya seperti pilihan raya yang lebih bersih atau pengundi hantu.

“Saya kecewa kerana tahap pemikiran golongan profesor tidak jauh bezanya dengan pemimpin peringkat bawahan Barisan Nasional (BN), yang memfokus isu remeh seperti calon MB. Ini suatu yang malang kerana golongan cerdik pandai sepatutnya mengkaji isu yang lebih serius,” katanya.

Azizan berkata, golongan itu seolah-olah diperalatkan pihak tertentu untuk membangkitkan isu ini demi kepentingan kumpulan tertentu.

“Jika kajian isu politik dibuat oleh kalangan orang politik, ia bukan sesuatu yang pelik. Kebijaksanaan mereka harus difokuskan kepada masalah negara yang lebih besar seperti isu rakyat, membangunkan negeri atau mempertahan kuasa,” katanya.

Menurutnya, golongan itu perlu bangkit mengupas isu lebih serius dan bebas daripada sebarang pengaruh politik.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kajian UUM satu petunjuk terhadap perubahan sokongan yang sedang berlaku.

Mahdzir berkata, pendedahan itu merupakan satu perkara yang baik namun pada masa yang sama BN di negeri ini tidak boleh leka sebaliknya perlu terus bekerja keras.

"Kajian itu menyatakan bahawa rakyat Kedah kembali memilih BN, ini sesuatu yang bagus. Perkara ini bukan rekaan kerana disokong dengan fakta hasil kajian yang mereka jalankan. Kenapa rakyat kembali memilih BN? Sudah tentu ada alasan tertentu yang menyokong perubahan ini, terutama dari segi kredibiliti Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR) mentadbir Kedah," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengerusi MCA Kedah, Datuk Chong Itt Chew ketika diajukan soalan sama, turut menyifatkan kajian berkenaan adalah maklumat yang tepat, lebih-lebih lagi apabila prestasi PR dalam mentadbir Kedah dilihat semakin merosot.

"Lebih empat tahun mereka (PR) mentadbir Kedah, prestasi mereka boleh dikatakan cukup teruk, tiada perubahan atau pembangunan dilakukan di negeri ini. Rakyat mula-mula memberi harapan besar kepada mereka namun akhirnya rakyat kecewa kerana apa yang diharapkan tidak seindah janji yang ditabur," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, yang juga Timbalan Pengerusi BN Kedah, bagaimanapun enggan mengulas mengenai hasil kajian berkenaan.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar turut menyuarakan pandangannya. Menurut beliau, pelbagai pihak boleh mengutarakan pandangan, analisa dan kajian namun ketepatannya sering kali tersasar.

Beliau yang meragui ketepatan kajian dan analisis, mempersoalkan metodologi yang diguna pakai pihak berkenaan dalam membuat kajian terbabit.

Katanya, setiap kaji selidik atau analisa dilakukan seharusnya ikut garis panduan standard tanpa memihak sesiapa.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar pula menyelar kajian itu dan menyifatkannya sebagai tidak tepat dan tidak menggambarkan pandangan keseluruhannya.

Katanya, kajian itu hanya untuk meyakinkan rakyat bahawa ramai yang memberi sokongan terhadap BN, sedangkan perkara sama juga berlaku terhadap Pakatan.


Majlis Profesor Negara (MPN) didakwa cuba mencetuskan perang psikologi kepada Pakatan Rakyat (PR) apabila kajian yang dibuat membabitkan keputusan PRU13 memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Exco Kerajaan Neger Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, pihak yang mengendalikan kajian terbabit berupaya mencetuskan suasana perang psikologi tanpa sedar, kerana ia banyak dilakukan di negara demokrasi lain.

“Penggunaan responden boleh dimanipulasi. Ini boleh menyebabkan keputusan tidak seimbang dan pasti hanya memihak kepada pihak tertentu,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan dua kajian yang memberi keputusan berbeza iaitu Profesor Dr Rohana Yusof yang memihak kepada BN dan Profesor Madya Dr Fuad Mohd Jali yang memihak kepada PR, menunjukkan kedua-dua parti mempunyai peluang sama rata.

“Siapa juga boleh dakwa pemimpin terbabit layak jadi pengganti Azizan. Pas Kedah lebih fokus pada usaha kekalkan kemenangan bukan cari pengganti Azizan. Yang penting, calon itu perlu dicalonkan dalam PRU13 dan menang, selain PR perlu terus berkuasa,” katanya.

No comments:

Post a Comment