Monday, August 6, 2012

PENDEKATAN ISLAH UNTUK GERAKKAN KEMAJUAN NEGARA -PM



KUALA LUMPUR- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Program Transformasi Negara yang sedang berlaku sekarang sentiasa mengambil pendekatan melalui konsep 'islah' untuk mencapai sasaran sebagai sebuah negara maju.
  
Beliau berkata, pendekatan 'islah' ini berjaya memperbaiki keadaan Malaysia daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi.
  
"Kini, kita mengorak langkah islah kita, mendukung visi menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, Insya-Allah," katanya dalam perutusan sempena Peristiwa Nuzul Al-Quran 1433 Hijrah, hari ini, dalam blognya, 1malaysia.com.my.
  
Beliau juga berdoa agar dengan keberkatan Nuzul Al-Quran yang terjadi di bulan Ramadan ini, Allah akan menyatukan hati umat Islam di negara ini bagi menjaga dan memperkasa Agenda Islam sebagai wadah ‘islah’ dan transformasi negara Malaysia.
  
Hari Nuzul Al-Quran yang jatuh pada bulan ini merupakan panduan lengkap dan bermukjizat bagi manusia mengendalikan kehidupan duniawi dan ukhrawi, katanya.

Menurut beliau lagi, berpegang kepada kepentingan al-Quran ini, kerajaan meletakkan Al-Quran sebagai satu mauduk penting dalam sistem pendidikan umat Islam.
  
Al-Quran diajar dalam arus perdana pendidikan rendah dan menengah negara melalui penambahbaikan kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) serta pendekatan Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardhu Ain (J-Qaf) secara komprehensif, katanya. –Bernama/SinarHarian

KD: ‘Islah’ dalam (Bahasa Arab: إصلاح) berasal dari kata kerja Aslaha (Bahasa Arab: أصلح) yang bermaksud pembaikan. Ia membawa maksud pembaikan atau perubahan terancang ke arah yang lebih baik. (http://ms.wikipedia.org)

Tuntutan ini meliputi mengubah keadaan yang tidak baik kepada yang baik atau memperbaiki lagi keadaan sedia ada. Berdasarkan Islah, manusia perlu berfikir dengan cara berbesa daripada biasa. Berfikir secara biasa ini merupakan sebahagian daripada unsur kreativiti dan inovasi. (http://ms.wikipedia.org)

No comments:

Post a Comment