Tuesday, November 27, 2012

AHLI PARLIMEN DILARANG KELUARKAN KENYATAAN SEKSIS

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Ahli Parlimen akan dilarang daripada mengeluarkan sebarang kenyataan seksis semasa bersidang menerusi usul yang akan dibentang di Dewan Rakyat esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pindaan itu akan dibahaskan dan setelah diluluskan, Malaysia bakal menjadi negara pertama di dunia mempunyai peraturan sebegitu.

"Kita akan menjadi satu-satunya negara mempunyai peraturan ini, Speaker mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada kata-kata seseorang Ahli Parlimen itu seksis atau tidak," katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Katanya, perubahan itu merupakan pindaan kepada Peraturan Mesyuarat 36 (4) sedia ada yang menyebut: Adalah menjadi kesalahan bagi Ahli-Ahli Dewan menggunakan bahasa kurang sopan (biadab).

Pindaan yang akan diusulkan dalam peraturan mesyuarat esok pula akan berbunyi: Adalah menjadi kesalahan bagi Ahli-Ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadab) atau membuat pernyataan yang seksis.

Mohamed Nazri menambah, peraturan itu terpakai kepada Ahli Parlimen lelaki dan wanita. –UtusanOnline

KD: Itulah yang sewajarnya..

No comments:

Post a Comment