Friday, November 16, 2012

LIBERALISME PEROSAK AKIDAH


PUTRAJAYA: Umat Islam diingatkan tidak membenarkan fahaman liberalisme menular dalam masyarakat hingga boleh menimbulkan kemudaratan dan keruntuhan akidah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata contohnya perkembangan dan isu hangat terkini... ayat laa ikraaha fiddin (al-Baqarah:256) diterjemahkan sebagai tiada paksaan dalam agama.

“Ini bererti bahawa anak orang Islam yang lahir Islam pun boleh bertukar agama. Ini menimbulkan kekeliruan.

“Ini boleh menimbulkan kekeliruan akidah yang amat serius dalam masyarakat kita yang mesti diperbetulkan,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1434 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam.

Najib berkata, umat Islam wajar mencontohi sifat kaum Muhajirin dan Ansar yang dibimbing Rasulullah SAW ketika peristiwa hijrah dalam memupuk perpaduan dan memperkukuhkan persaudaraan ummah.

Kejayaan terbesar daripada hijrah adalah perpaduan tulen kaum Ansar dan Muhajirin. Perpaduan ini bukanlah satu yang mudah tetapi tidak mustahil berlaku (kerana) sudah dibuktikan dalam peristiwa hijrah.
Perpaduan memerlukan pengorbanan, keikhlasan dan semangat penerimaan yang mendalam malah Muhajirin dan Ansar sentiasa mencari titik persamaan dan bukan perbezaan, katanya.

Beliau berkata, apa yang mereka cari adalah kebaikan bukan keburukan, kesempurnaan bukan kecacatan, sentiasa meraikan, memuji, menasihati dan menegur jauh sekali meminggir, mencela, memaki, menghina atau mencerca.

Dalam konteks Malaysia, katanya, hijrah membawa maksud transformasi pemikiran, sikap, amal peribadi dan pentadbiran yang lebih cekap dan berkesan.

Katanya, dalam melaksanakan transformasi, lima kriteria perlu diikuti iaitu menjadikan Rasulullah SAW sebagai model dan ikutan, terpandu kepada prinsip wasatiyyah atau seimbang, dilaksanakan secara inklusif atau keterangkuman, bersifat dinamik dan stabil serta memberikan pemahaman yang jelas tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama. -BHarian

No comments:

Post a Comment