Monday, November 19, 2012

PAS DOA UMNO HANCUR:  ‘BUKAN AMALAN ISLAM'


KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Hussin berkata tindakan PAS mendoakan kehancuran UMNO bertentangan dengan ajaran Islam.

Sambil melahirkan kekecewaan, beliau berkata, orang Islam tidak boleh mendoakan sesama saudara hancur, sebaliknya perlu membantu dan mendoakan perkara baik.

Mereka mendakwa kerajaan zalim tetapi sebenarnya kerajaan sudah melakukan banyak untuk mengembangkan syiar Islam di negara ini termasuk dari segi pendidikan dan pembangunan agama.

Setakat ini, saya tidak melihat kerajaan mengabaikan kepentingan orang ramai, malah, sentiasa membantu rakyatnya. Saya kecewa dalam menghadapi pelbagai musuh Islam di dalam dan luar negara masih ada pihak yang mahu menggugurkan rakan seagama, katanya.

Beliau mengulas tindakan PAS menerusi kandungan doanya sempena program solat hajat di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Jumaat lalu, meminta UMNO dan BN dihancurkan.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, berkata PAS sudah mula diresapi fahaman firqah atau golongan ekstrem.

Beliau berkata menggunakan perkataan jahanam dan mendoakan supaya UMNO hancur bukan amalan Islam, sebaliknya datang daripada fahaman golongan Khawarij yang hanya menganggap bahawa mereka saja betul berbanding dengan orang lain.
 
Memberikan contoh keadaan Nabi Muhammad SAW yang dibaling dengan batu oleh penduduk Taif ketika berdakwah, beliau menegaskan Baginda tidak mendoakan kehancuran mereka malah berdoa supaya mereka akan beriman kepada Allah SWT.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar, berkata tindakan PAS mendoakan kehancuran UMNO sama seperti mendoakan kejatuhan Islam dan Melayu kerana pemimpin dan ahli UMNO adalah kaum Melayu beragama Islam.

Mana-mana doa untuk menghancurkan Melayu (UMNO), maknanya menghancurkan Islam dan Melayu, katanya.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, apabila Melayu di negara ini hancur, Islam juga akan mengalami kehancuran kerana Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain menganggap doa PAS sebagai doa gila kerana menyeru penyokongnya memusuhi dan membenci saudara seagamanya sendiri.

Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Mohd Noor Deris, berkata doa PAS boleh memesongkan akidah seseorang Islam dan menanam rasa benci dalam kalangan umat Islam.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad enggan mengulas isu itu tapi mengingatkan semua pihak yang doa bertujuan untuk kebaikan.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkata motif doa itu berkisar kepada hasrat menyokong perpecahan.

Sepatutnya umat Islam mendoakan kebaikan dan petunjuk untuk yang lain, manakala kaki pecah belah perlu dijauhi oleh umat Islam, katanya. -BHarian

No comments:

Post a Comment