Tuesday, December 18, 2012

CEC: PENYOKONG DAP KECEWA MELAYU TAK TERPILIH

GEORGETOWN: Orang Melayu yang menyokong DAP kecewa dengan keputusan perwakilan parti itu kerana tidak memilih calon Melayu untuk menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Mereka berpendapat, ahli DAP yang kebanyakannya terdiri daripada kaum Cina masih terikat dengan fahaman condong kepada cauvinis dan juga perjuangan untuk kepentingan satu kaum saja.

Selain itu, keputusan perwakilan turut menampakkan imej DAP bukan parti berbilang kaum dan mewujudkan kemungkinan besar ia akan ditolak pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak, berkata pihaknya yang selama ini rapat dengan kepemimpinan DAP kecewa penolakan perwakilan parti terhadap calon Melayu DAP.

Mahu calon Melayu bertanding

“Kegagalan calon Melayu diundi ke dalam CEC mengecewakan dan apa yang kita harapkan sekarang ini biarlah ada calon Melayu DAP dipilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum.

“Jika itu pun mereka tidak buat, maka DAP memang tidak ikhlas untuk memperjuangkan orang Melayu dan parti itu bukanlah parti yang berbilang bangsa seperti sering diuar-uarkan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pada pemilihan Kongres Kebangsaan DAP ke-16 yang diadakan Sabtu lalu, semua lapan calon Melayu yang bertanding tewas tetapi dua daripadanya iaitu Senator Dr Ariffin SM Omar dan Zairil Khir Johari dilantik menganggotai CEC.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menafikan ketiadaan calon Melayu yang diundi untuk CEC parti itu sebagai tanda ia bersifat anti-Melayu dan anti-Islam.

Katanya, walaupun CEC dibarisi kebanyakan ahli bukan Melayu tetapi masih memperjuangkan kepentingan semua kaum di negara ini.

“DAP adalah parti berbilang bangsa. Kami membuka keahlian kepada Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan. Kini kita juga ada Kadazan dan Iban dalam CEC.

“Ketiadaan calon Melayu diundi dalam CEC tidak bermakna parti ini adalah anti-Melayu seperti yang didakwa sesetengah pihak,” katanya.

Percaya perjuangan DAP

Sementara itu, ahli DAP, Mohamed Hata Wahari, berkata orang Melayu yang menyertai DAP masih lagi percaya dengan perjuangan parti itu dan tidak perlu untuk keluar dari parti hanya kerana tiada Melayu diundi ke CEC.

Katanya, penolakan perwakilan terhadap calon Melayu disebabkan calon yang bertanding itu dirasakan tidak berupaya menyumbang kepada kekuatan parti mengharungi pilihan raya.

“Dakwaan ahli DAP tidak percayakan Melayu tidak benar. Contohnya, dulu Allahyarham Ahmad Nor mendapat undi perwakilan tertinggi dan dilantik sehingga menjadi timbalan pengerusi parti.

“Ahmad dilantik sebab beliau buat kerja dan dikenali ramai dan atas sebab itu berjaya mendapat kedudukan tinggi dalam CEC selain memenangi kerusi Parlimen yang ditandinginya pada 1990,” katanya. -BHarian

No comments:

Post a Comment