Tuesday, January 29, 2013


ISU NASHA: LUCUT NASHA 'GEMBIRAKAN' PARASIT DALAM PAS - HASAN ALI

Hasan AliSHAH ALAM – Tindakan Majlis Syura yang menggugurkan keahlian bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dari badan itu sudah dijangka malah turut dinanti-nantikan oleh pimpinan ‘parasit’ dalam parti itu.

Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali mendakwa, berita pemecatan itu sudah lama dinantikan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang tidak menyenangi tindak tanduk Nasharudin yang sebelum ini menghentam secara terbuka Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh kerana didakwa menghina Islam secara terang-terangan.

“Parasit dalam pimpinan Pas memang sudah lama mencari ruang dan peluang untuk mencantas beliau (Nasharudin). Golongan ini tidak dapat berbuat apa-apa disebabkan keputusan Majlis Syura adalah di luar bidang kuasa mereka.

“... keputusan Majlis Syura ini sudah tentu menjadikan puak-puak parasit dan Anwarinas begitu lega dan menarik nafas panjang kerana cita-cita mereka sudah tertunai,” dakwanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pemecatan Nasharudin dari Majlis Syura,  Hasan turut mendakwa pimpinan parasit juga tidak menyenangi tindakan Nasharudin apabila beliau telah mencadangkan supaya Pas mengkaji semula kedudukan tahaluf siyasi bersama PR.

Dakwanya lagi, ketidakpuasan mereka membuak lagi apabila melihat Nasharudin mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertemu ulama di Mekah dan Palestin sambil melabelkannya sebagai pro-Umno.

“Saya yakin selepas ini, Nasharudin akan menerima nasib yang sama seperti saya iaitu dipecat daripada menjadi ahli Pas.

“...kedudukan beliau kini lebih lemah daripada saya ketika dipecat kerana beliau merupakan ahli biasa parti sementara saya sewaktu itu adalah Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ahli Lajnah Politik dan mewakili Pas dalam Exco Kerajaan Negeri Selangor,” jelasnya yang dipecat awal tahun lalu.

Beliau menambah, berita mengenai pengguguran itu tidak memeranjatkan malah, usaha untuk menjatuhkan karier politik Nasharudin dakwanya telah bermula sejak beliau kecundang dalam mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Pas dalam pemilihan Muktamar 2011.

“Rasa tidak puas hati di kalangan sesetengah pimpinan Pas terserlah apabila melalui perancangan yang teliti dan dibantu oleh kuasa luar secara jarak jauh dan campur tangan dalam urusan kepimpinan Pas,” dakwanya.

“Penyingkiran Nasharudin juga menjadi satu kerugian besar buat Pas apabila ramai pemimpin parti itu masih tidak setanding dan tidak mempunyai kualiti yang sama sepertinya. Beliau boleh diletakkan di kerusi pimpinan parti yang mampu berdepan dengan pimpinan dunia sama ada di Timur ataupun Barat kerana kebolehan beliau menguasai beberapa bahasa dunia,” katanya. –Sinar Harian

No comments:

Post a Comment