Sunday, February 3, 2013

BN BAWA PENYANYI ‘PSY’ KE SAMBUTAN TAHUN BARU CINA P.PINANG

GEORGE TOWN, 2 Feb — Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang bakal mengadakan sambutan Tahun Baru Cina di padang sekolah Han Chiang pada 11 Februari ini, mengikuti langkah kerajaan negeri DAP yang turut mengadakan himpunan besar-besaran di lokasi yang sama sebelum pilihan raya 2008 lalu.

Bagi menarik orang ramai, BN akan membawa penyanyi terkemuka "Gaya Oppa Gangnam", Psy ke rumah terbuka dan dijangkakan dihadiri lebih 60 ribu tetamu termasuk pengerusi BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Penyanyi berasal dari Korea Selatan tersebut akan menyanyikan lagu fenomena hebat semasa acara tersebut. Klip video tersebut telah dimuat turun lebih 1.29 bilion kali di laman YouTube sejak ia dimuatkan Julai tahun lalu.

Rumah terbuka tersebut akan bermula jam 10 pagi hingga 1 petang dan merupakan salah satu strategi utama BN untuk memenangi semula negeri perindustrian dan pelancongan di utara Malaysia itu.

Semasa kempen pilihan raya 2008, padang sekolah Han Chiang menyaksikan ceramah terbesar anjuran DAP yang dihadiri ribuan rakyat di Pulau Pinang.

Selepas itu, DAP dan rakan parti komponennya berjaya menakluk Pulau Pinang daripada BN, menyaksikan Umno sebagai parti tunggal dalam pembangkang dengan hanya 11 kerusi daripada 40 kerusi dewan undangan negeri.

The Malaysian Insider difahamkan rumah terbuka Tahun Baru Cina merupakan salah satu langkah yang akan diambil oleh pengerusi negeri BN Teng Chang Yeow untuk cuba memenangi semula Pulau Pinang pada pilihan raya tahun ini.

Dalam temubual dengan The Malaysian Insider minggu lalu, Teng berkata BN aka cuba fokus untuk mempelbagaikan ekonomi negeri terutamanya pelancongan, sambil mendakwa kerajaan BN sebelum ini yang telah berkempen untuk pengiktirafan status Tapak Bersejarah Dunia UNESCO di Georgetown dan pembesaran lapangan terbang negeri.–Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment