Thursday, April 18, 2013

PRU13: KRISIS PEMBANGKANG KIAN MERUNCING

TAPAH - Bekas Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), S. Jenapala Perumal hari ini mendedahkan pakatan pembangkang terutamanya PKR sedang berhadapan masalah dalaman yang meruncing ekoran krisis agihan kerusi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Jenapala mendakwa, tindakan pucuk pimpinan PKR yang cenderung menempatkan calon luar untuk bertanding menimbulkan kemarahan jentera parti di banyak kawasan terutamanya di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Johor.

Malah, katanya, seorang wakil rakyat PKR di Pulau Pinang dijangka akan mengumumkan keluar daripada parti itu esok.

Beliau bagaimanapun enggan menyebut nama pemimpin tersebut.

Keadaan tidak sihat itu, katanya, berlaku disebabkan keengganan pucuk pimpinan mendengar pandangan ahli-ahli dan pemimpin akar umbi.

Beliau memberikan contoh di Tapah misalnya, PKR mengumumkan bekas pemimpin Hindraf, K. Vasanthakumar bertanding sedangkan penduduk di kawasan itu tidak mahu calon tersebut kerana merupakan orang luar.

"Persoalannya, mana letaknya kedudukan orang akar umbi dan ketua pemimpin yang berusaha demi kepentingan parti selama ini?

"Pandangan mereka tidak dipedulikan langsung walaupun berjumpa beberapa kali dengan pemimpin pusat," kata Jenapala dalam sidang akhbar di pejabat PKR Taman Bukit Hijau di sini hari ini.

Dalam sidang akhbar yang sama, Ketua Cabang PKR Tapah, Ridzuan Bani mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas pada PRU-13 kerana kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan PKR menempatkan Vasanthakumar untuk bertanding di kawasan tersebut.

Menurut Jenapala, para pengundi terutamanya kaum India mula sedar bahawa mereka hanya diperalatkan oleh PKR demi kepentingan politik.

"PKR yang sering menonjolkan peranan dominan dalam pakatan pembangkang sepatutnya memberi lebih kerusi kepada calon India PKR, bukan DAP," katanya.

Dalam pada itu, Jenapala turut membidas sikap Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwanya besar kepala sehingga tidak mahu mengakui kesalahan sendiri.

Menurut beliau, sikap sedemikian tidak ada pada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang lebih merendah diri, malah sanggup meminta maaf kepada rakyat khususnya masyarakat India atas apa jua kelemahan sepanjang pentadbiran beliau.

"Anwar tidak mahu terima bahawa dia pernah berada dalam BN. Segala tuduhannya adalah semasa dia turut berada dalam BN.

"Tetapi dia tidak minta maaf kepada rakyat malah terus salahkan BN. Kalau buat kesilapan bertaubatlah, orang akan terima," ujar Jenapala lagi.– Utusan Online

No comments:

Post a Comment