Sunday, June 2, 2013

HINA AGONG: PPIM DESAK TINDAKAN TEGAS DIAMBIL SEGERA

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap sekumpulan kaum Cina, dipercayai rakyat Malaysia yang begitu biadab terhadap titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah melalui laman sosial Facebook malam tadi.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, sikap biadab itu tidak boleh dibiarkan kerana kesannya amat buruk terutama kepada hubungan antara kaum di negara ini.

Beliau berkata, tindakan itu juga boleh mendatangkan kemarahan orang Melayu kerana hubung kait institusi raja dengan kaum tersebut yang amat rapat selain kedudukannya yang begitu tinggi dalam sistem pemerintahan negara.

"Institusi raja wajib dihormati semua kaum di negara ini dan tidak sewajarnya dihina sebegitu rupa.

"Tindakan biadab mereka perlu dibalas dengan tindakan undang-undang paling tegas. Tujuannya untuk menyedarkan mereka tentang kesalahan yang telah dilakukan,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan individu dipercayai rakyat Malaysia kaum Cina yang bertindak biadab terhadap ucapan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menerusi laman sosial Facebook.

Mereka dipercayai menulis kata-kata itu di laman sosial berkenaan malam tadi sewaktu Yang di-Pertuan Agong menyampaikan titah ucapan sempena ulang tahun keputeraan rasmi baginda yang disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Dalam masa sama, beliau melahirkan kebimbangan tindak-tanduk itu sekiranya dibiarkan akan menyebabkan negara berhadapan masalah perkauman lebih kritikal pada masa depan.

"Bagi saya isu ini seperti bom jangka. Suatu hari nanti, bom ini akan meletup dan mangsanya ialah generasi kita akan datang," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menggesa pihak berkuasa bertindak segera terhadap seorang guru Cina di Gelang Patah, Johor yang didakwa menghina pelajar Melayu dan kerajaan menggunakan kata-kata kesat dan keji.

"Guru itu perlu dikenakan tindakan paling tegas. Bagi PPIM, kerajaan tidak boleh lagi berlembut. Waktu untuk berlembut telah tamat," katanya.–Utusan Online

No comments:

Post a Comment