Tuesday, July 2, 2013

~~

ISU DAKWAT KEKAL: SPR DISIASAT, PELUANG BERSIHKAN NAMA –PENGANALISIS
SHAH ALAM - Penganalisis politik melihat siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebagai tindakan yang boleh membersihkan nama badan pengendali pilihan raya itu.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mansor Mohd Noor berkata, siasatan terhadap isu penggunaan dakwat kekal pada PRU13 ini penting kepada SPR.

Menurutnya, imej SPR akan dapat dipulihkan setelah pihak yang bertanggungjawab dalam kegagalan perlaksanaan dakwat kekal itu dikenakan tindakan.

"Siasatan ini penting. Sepatutnya SPR sudah awal-awal lagi menubuhkan pasukan siasatan ini mencari siapa yang bertanggungjawab ke atas isu ini.

"Rakyat mahu isu ini segera diselesaikan dan bukannya ditangguhkan dengan tempoh yang terlalu lama, setelah berakhirnya PRU13," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada siasatan ini akan beri kesan positif atau negatif kepada SPR.

Setiausaha Tugas-tugas Khas Majlis Profesor Negara (MPN) itu berkata, institusi kerajaan seperti SPR harus bertindak cepat dalam mengendalikan isu-isu berbangkit yang menjadi perhatian rakyat.

"Ini kerana jika isu tersebut lambat ditangani, rakyat akan mula menanam persepsi tertentu, contohnya dalam isu dakwat kekal ini," katanya.

Ketika ditanya adakah waktu siasatan isu dakwat kekal ini sesuai, iaitu sebelum tarikh pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut, Terengganu diputuskan, beliau berkata, siasatan ini perlu disegerakan.

"Lebih cepat lagi bagus, rakyat mahu isu ini diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan kenyataan Pengarah siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali bahawa siasatan kini dijalankan ke atas SPR berhubung pembelian dakwat yang didakwa mudah tanggal ketika digunakan dalam PRU, yang lalu.

Manakala, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar pula menegaskan pihaknya akan memberikan sepenuh kerjasama dalam siasatan ini.

Menurutnya, SPR sendiri ingin mengetahui perkara sebenar yang berlaku dalam perlaksanaan dakwat kekal pada hari pengundian 5 Mei lalu.- Sinar Harian

No comments:

Post a Comment