Friday, July 26, 2013

SYIAH PERLU DIBENDUNG - USTAZ KAZIM

SHAH ALAM – Kerajaan dan pihak berkuasa agama perlu melaksanakan penguatkuasaan terhadap penyebaran Syiah dalam kalangan rakyat Malaysia kerana ia diwartakan haram di negara ini.
 
Pendakwah, Ustaz Mohd Kazim Elias berkata, setiap perkara yang diwartakan adalah undang-undang maka ia perlu dilaksanakan.

Menurutnya, jika tidak berbuat demikian, kita tidak akan dapat mencegah penularan Syiah di negara ini.

“Penguatkuasaan perlu untuk membendung penularan Syiah dan mendekati golongan yang berani mengisytiharkan mereka mengamalkan Syiah. Syiah adalah agama yang menarik orang sebab banyak perkara yang dalam agama mereka ‘dilonggarkan’.

“Oleh itu, ia menjadi penyebab untuk menarik orang muda kepada Syiah seperti perkahwinan mutaah. Mereka juga memudahkan ibadat antaranya tidak ada sembahyang, hanya boleh solat jamak setiap kali keluar rumah sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kaedah berkesan untuk kekang Syiah di negara ini.

Mohd Kazim berkata, Syiah mempengaruhi orang muda dan yang tidak berilmu menyebabkan mereka seronok apabila Islam dibuat dalam bentuk mudah.

“Ia menarik orang ramai dan kita perlu membendung perkara ini. Kita berpegang kepada Ahli Sunnah wal Jamaah dan setelah 57 tahun negara kita merdeka, kita tidak mempunyai masalah.

“Di negara lain masyarakat Islam berpecah kerana perbezaan mazhab. Di Malaysia tidak ada perbezaan mazhab,” katanya.

Bagaimanapun katanya, perbezaan ideologi agama dimasukkan ke dalam masyarakat Malaysia, mereka akan bergaduh.

“Apabila kita import fahaman luar dan bawa ke dalam budaya Melayu ia akan menjadi perpecahan dahsyat seperti negara lain,” katanya. –Sinar Harian


No comments:

Post a Comment