Wednesday, September 11, 2013

ISA JAMIN DEMOKRASI SELAMAT

SHAH ALAM – “(Bekas Perdana Menteri) Tun Abdul Razak Hussein secara khusus mengatakan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) adalah untuk menjamin demokrasi selamat.

"Hari ini pun demokrasi kita lebih hebat daripada zaman beliau tetapi adakah kita berasa selamat?” kata Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin dalam wacana, semalam.

A Kadir Jasin Kadir berkata, demokrasi yang ada pada hari ini dianggap sebagai tidak selamat kerana penghapusan beberapa akta antaranya ISA.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan menghapuskan ISA kerana ia dikatakan sebagai kejam terhadap tahanan yang ditahan tanpa dibicarakan.

Merujuk kepada Singapura, beliau berkata, ada pihak mendakwa sekiranya ISA tak dihapuskan pelabur takut untuk membuat pelaburan di negara itu.

“ISA dikatakan perlu dihapuskan kerana kejam, tidak adil dan jahat tetapi saya juga tahu ada sebuah parti pembangkang jika ada pemimpin tak pernah ditahan ISA maka tidak dianggap hero.

“Kalau ISA tak dihapuskan pelabur tak datang ke Singapura. Adakah pelabur sudah lari dari Singapura?” katanya.

Kadir berkata, beliau melihat Malaysia kini mengamalkan demokrasi tidak selamat kerana termakan dakyah barat yang mengatakan negara ini tidak menghormati hak asasi manusia.

Menurutnya, sejak Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik Perdana Menteri, beliau mengadakan transformasi iaitu mengandungi hak kebebasan rakyat dengan menghapuskan ISA.

“Apakah perlu kita menggubal undang-undang ini sekaligus tanpa memikirkan baik buruknya dan tanpa undang-undang menggantikannya?” katanya.

Kadir berkata, kerajaan tidak perlu tunduk dengan desakan Barat yang sememangnya cemburu dengan kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang diperintah dengan baik.

“Mereka  tak suka Islam berjaya. Mereka menekan kita untuk terima hak asasi manusia dan kita termakan dengan dakyah itu," katanya.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment