Friday, December 13, 2013

ISU SYIAH AKAN DITANGANI SEGERA DEMI KESELAMATAN NEGARA - AHMAD ZAHID

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu menangani segera Syiah di negara ini bagi memastikan tiada isu keselamatan yang mungkin dicetuskan penganut fahaman itu.

Sambil menegaskan tidak mahu berkompromi dalam soal keselamatan negara, katanya beliau juga tidak peduli jika ada pihak tertentu terutama pemimpin PAS yang mencemuh atau melempar cacian di atas ketegasannya memerangi Syiah.

"Dalam soal politik kita boleh berbeza pendapat tetapi bab akidah hanya satu iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah. Saya tidak akan berkompromi soal keselamatan kerana tidak mahu umat Islam di negara ini berpecah dua.

"Dalam Islam tiada fahaman lain selain sunni," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Anugerah Buku Negara 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Khamis.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno turut meminta Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu supaya tidak berpura-pura atau bertaqiyyah setelah disahkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlibat dengan fahaman Syiah.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi di Putrajaya hari ini bahawa Mohamad cenderung dan terlibat dengan fahaman syiah di Malaysia berdasarkan 10 maklumat yang diterima kementerian.

Sumber: mStar Online 

No comments:

Post a Comment