Tuesday, December 10, 2013

PAS SUDAH PANTAU, TIADA AHLI TERLIBAT SYIAH

SHAH ALAM - Pas mencabar Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mendedahkan bukti keterlibatan pemimpin parti itu yang didakwa mengamalkan ajaran Syiah. 

Nik Abduh Nik Abdul AzizAhli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, tindakan menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan bakal mendedahkan bukti didakwa hanya sekadar mainan mahu mendapatkan sokongan politik.

“Berdasarkan pemantauan, tiada seorang pemimpin Pas terlibat dengan Syiah dan kami telah pun membuat penafian berhubung perkara ini."Ia hanya spekulasi pihak luar yang khabar angin untuk mereka dan juga Umno sahaja. Jika KDN ada bukti, sila buktikan, jangan hanya bermain politik sebegini” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang akan mendedahkan beberapa bukti pemimpin Pas terlibat dalam fahaman Syiah dalam satu sidang akhbar khas dalam masa terdekat.

"Jika beliau berjaya membuktikan ada pemimpin Pas yang mengikut fahaman Syiah, Pas tetap mempertikaikannya.

"Kami hanya akan mengambil tindakan apabila kami sendiri melihat serta mengkaji bukti tersebut," katanya.

Jelasnya, Pas tidak akan sewenang-wenangnya mempercayai bukti-bukti yang dibawa.

“Saya juga sudah sebut jika bukti itu datang daripada Umno maka kita tidak akan percaya,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan KDN yang memberi kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin Pas yang terlibat dalam fahaman Syiah, Nik Abduh menegaskan, ia adalah tindakan kerajaan dan Pas tiada kuasa untuk menghalangnya.

“Pas ada keputusan sendiri dan kerajaan ada kuasa mereka dan boleh buat apa sahaja. Selagi mana pemimpin Pas bersih, kita akan cuba pertahankan pemimpin kita," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, kerajaan perlu menuruti prosedur dalam memberikan bukti berhubung keterlibatan pemimpin Pas dalam fahaman Syiah.

"Jika (ia) tidak benar, ini bermakna Umno perlu bersedia menghadapi saman daripada Pas.

"Isu syiah merupakan isu politik antarabangsa yang telah dimainkan Umno dan akhirnya Pas menjadi mangsa keadaan. Jika Umno ada bukti, sila tunjukkan, kami tidak gentar,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment