Showing posts with label Alvin. Show all posts
Showing posts with label Alvin. Show all posts

Wednesday, July 17, 2013

HINA AGAMA: ORANG MUDA MAHU KERAJAAN BERTEGAS
SHAH ALAM – Pemimpin muda dalam Umno dan Pas sependapat mahu kerajaan bertindak tegas terhadap mereka yang menghina agama kerana gejala melampau itu semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan mesti bertindak segera membendung perkara itu kerana membahayakan kestabilan dan perpaduan negara.

"Perlu ada tindakan melalui hukuman sekatan. Ini adalah kesan negatif langit terbuka yang wajib dikawal," katanya.

Selain itu, kata Nik Abduh, mereka yang terbabit juga perlu diberi pendidikan moral yang sempurna untuk insaf.

Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula berkata, agenda perpaduan nasional yang diusahakan oleh kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak perlu melihat semua aspek secara mendalam yang berkaitan dengan pemahaman dan menghormati adat, budaya dan agama.

"Menghormati dan memahami agama yang ada di Malaysia perlu didedahkan di peringkat awal. Jika tidak, mereka akan mempersendakannya seperti yang dibuat pasangan itu," kata Ahli Parlimen Kepala Batas itu.

Exco Pemuda Umno, Syahrin Md Jamaluddin berkata,  kerajaan tidak harus berlembut dan defensif dalam menangani individu yang hina agama lain kerana perbuatan itu sangat merbahaya.

"Ini bukan pertama kali dan boleh berlaku lagi jika kerajaan ambil mudah," katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu mengimplementasikan undang-undang yang ada dan jangan ambil mudah selepas mereka yang terbabit minta maaf.

"Orang bukan Islam dengan mudah mempermainkan agama Islam yang merupakan agama rasmi negara termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Syahrin berkata, tanpa tindakan tegas, dibimbangi akan mencetuskan kemarahan umat Islam yang mungkin akan bertindak luar jangkaan. –Sinar Harian
HINA ISLAM: ALVIN, VIVIAN TAK ADA AKAL - TUN M

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perbuatan pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan boleh menjejaskan keharmonian dalam kalangan masyarakat.

Menyifatkan pasangan itu sebagai tidak bertanggungjawab, Dr Mahathir berkata provokasi bersabit agama sehingga mengguris sensitiviti rakyat pelbagai kaum, khususnya umat Islam tidak seharusnya dibuat kerana ia dikhuatiri boleh menjurus kepada rusuhan dalam kalangan rakyat.

"Kata benda-benda yang menyakitkan hati orang mungkin orang akan balas...nanti jadi bermusuhlah. Ini orang yang tak ada akal, bodoh yang tidak boleh diajar," katanya.

Dr Mahathir bercakap kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama warga Proton di Shah Alam malam tadi dan berpendapat hukuman keras harus ke dikenakan terhadap pasangan itu, sebagai pengajaran.

"Jika tidak boleh dibuang negeri, mungkin tindakan lain boleh dikenakan. Tetapi saya ingat undang-undang tidak benarkan kita lucut kewarganegaraan," katanya ketika ditanya mengenai cadangan supaya pasangan itu dilucut kewarganegaraan.

Pasangan itu sebelum ini dikecam ramai setelah memuat naik gambar mereka menikmati bak kut teh (sup tulang babi) berserta kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam di laman sosial Facebook. – Bernama/Sinar Harian

Monday, July 15, 2013

PEMIMPIN CINA KUTUK, SIFATKAN ALVIN, VIVIAN PASANGAN BIADAB

KUALA LUMPUR 14 Julai - Tindakan pasangan kontroversi, Tan Jye Yee dan Vivian Lee mempersenda agama Islam dan bulan Ramadan dalam Facebook baru-baru ini tidak boleh diterima dan mendapat tentangan daripada masyarakat Cina negara ini.

Beberapa pemimpin kaum Tionghua turut menyelar tindakan biadab pasangan digelar Alvin dan Vivian itu serta mahu tindakan tegas diambil ke atas mereka demi menjaga keharmonian kaum.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong menganggap perbuatan pasangan itu kurang ajar dan mereka wajar ditangkap serta dikenakan tindakan undang-undang.

"Saya ada berbincang dengan 10 rakan Cina tentang perkara ini, kesemua mereka amat marah dan menyifatkan perbuatan itu tidak sepatutnya terjadi. Saya yakin kaum Cina lain juga marah dan menganggap perkara itu cukup kurang ajar.

"Dua orang ini perlu 'diajar'. Dahulu mereka memalukan kaum Cina, tetapi sekarang melakukan publisiti murahan dengan menghina masyarakat Islam pula," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Pasangan yang sebelum ini merakam adegan seks, baru-baru ini telah memuat naik gambar mereka menikmati hidangan dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)... wangi, enak dan menyelerakan' di laman Facebook mereka.

Mengulas lanjut, Michael bersetuju jika pasangan itu ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.

"Apa cara sekali pun, mereka berdua ini perlu diajar dan dihukum.

"Dahulu mereka pernah memalukan kaum Cina dengan melakukan perbuatan terkutuk, sekarang mereka cuba menggugat keharmonian kaum pula," katanya.

Seorang lagi pemimpin kaum Cina iaitu Pengerusi Pertubuhan Social Care, Tan Sri Robert Phang berkata, perbuatan Alvin dan Vivian itu sangat melampau dan tidak boleh diterima sama sekali.

"Perbuatan menunjukkan makanan 'non halal' sebegitu dengan kapsyen 'Selamat Berpuasa' sangat melampau. Perkara itu tidak boleh dibenarkan kerana kaum Cina di negara ini harus menghormati ibadat orang Islam yang sedang berpuasa.

"Saya harap kaum Cina menjaga sensitiviti rakyat dengan tidak melakukan perbuatan menjejaskan keharmonian kaum," katanya ketika ditemui selepas membuat satu laporan polis di Balai Polis Tun Razak hari ini.

Selain beliau, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pasangan itu boleh disiasat mengikut undang-undang berikutan laporan polis yang dibuat banyak pihak.

"Mereka tidak sensitif dengan perkara yang begitu penting kepada orang Islam dan saya sebagai pemegang amanah Yayasan 1Malaysia amat kesal apabila perkara ini terjadi.

"Saya juga anggap perbuatan mereka itu tidak boleh diterima ramai dan wajar dikecam pelbagai pihak," katanya.–Utusan Online
GAMBAR PERSENDA RAMADAN: KESABARAN UMAT ISLAM TERUS DIUJI PADA AWAL RAMADAN
 
KUALA LUMPUR - Kesabaran umat Islam terus diuji awal Ramadan ini selepas beberapa laman mengutuk agama itu terus menjadi-jadi dengan penghinaan seperti menggalakkan pemakanan babi untuk berbuka puasa serta kutukan terhadap Nabi Muhammad SAW dan Allah SWT.

Tidak cukup dengan tindakan pasangan porno amatur Alvin Tan dan Vivian Lee tentang juadah bak kut teh untuk berbuka puasa, beberapa pemilik akaun Facebook dengan pelbagai nama samaran dipercayai bagi melindungi identiti masing-masing semakin berani mengutuk Islam.

Apa yang menjadi persoalan ialah kelewatan pihak berkuasa antaranya Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas serta meyakinkan bagi menangani isu-isu sensitif tersebut.

Sebagai contoh, pengguna akaun Facebook 'Izlam is Shit Always' yang diwujud sejak 11 April lalu dan dipercayai beroperasi di luar negara secara berterusan mengutuk Nabi Muhammad SAW dengan gelaran menghina sekali gus mengundang pelbagai komen pengguna laman sosial itu terutama beragama Islam.

Selain itu, modus operandi serta provokasi pemilik akaun tersebut terhadap umat Islam juga dilihat serupa dengan 'lawak' Alvin dan Vivian selepas menyifatkan hidangan babi sebagai sesuatu yang halal dimakan penganut Islam.

Paling biadab, pemilik akaun itu turut menggelarkan para penganut Islam sebagai 'tikus'.

"Kesemua tikus melayari (akaun ini) lebih banyak daripada biasa. Tentu kerana berpuasa. Hidangan bakon (babi salai) untuk mereka berbuka puasa akan menjadikan mereka insan yang lebih baik tetapi mereka semuanya tidak baik, setiap seorang daripada mereka (tidak baik)," katanya menerusi komen yang disiarkan dalam laman Facebooknya.

Dalam pada itu, gambar serta keterangan gambar pemilik akaun tersebut turut mengundang pelbagai kritikan dan kata-kata kesat pengguna beragama Islam lain yang ternyata tidak dapat bersabar selepas berbalas komentar dengan pemilik berkenaan.

Di sebalik kemarahan tersebut, seorang pengguna 'Mohamad Mughniy' menasihati umat Islam lain tidak melayan provokasi pengendali akaun berkenaan yang disifatkannya sakit jiwa dan memerlukan terapi.

"Kepada kesemua rakan Muslim, jangan membuang masa anda menghamburkan kebencian kepada pengendali ini," katanya.

Pemilik akaun mengutuk Islam itu turut mengingatkan para pelayar internet melawati akaun yang dipercayai pendua dengan nama 'Bacon Jihad' sekiranya akaun 'Izlam is Shit Always' terpaksa ditutup.–Utusan Online