Showing posts with label Darurat. Show all posts
Showing posts with label Darurat. Show all posts

Wednesday, September 11, 2013

SELEPAS ORDINAN DARURAT (EO) MANSUH: ADAKAH KITA SELAMAT? 
Selepas EO: Adakah kita selamat?
Wacana “Polis Hilang Sengat, Apa Selepas EO” 
anjuran Sinar Harian di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, semalam.
SHAH ALAM – “Apakah hari ini kita sudah berasa selamat selepas pelbagai akta dimansuhkan?" demikian soal Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin dalam Wacana Siri 23 ‘Polis Hilang Sengat : Apa Selepas Ordinan Darurat (EO)’ di Auditorium Karangkraf, di sini, semalam.
Beliau berkata, jika kita ada empat atau lima pengawal peribadi bolehlah berasa selamat.

"Kalau tiada bodyguard yang duduk di rumah biasa, yang pergi membeli belah di tempat biasa, yang pergi letak kereta di tempat biasa dan yang tidak duduk di kediaman dikawal saya rasa mereka tidak berasa selamat. Jadi demokrasi kita sudah tidak selamat,” katanya.

Wacana Siri ke-23 ini dikendalikan penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar sebagai moderator.

Turut  hadir bekas Timbalan Menteri  Dalam Negeri, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, rasa tidak selamat itu wujud apabila banyak akta yang selama ini menjaga keselamatan sudah dimansuhkan.

“Akta yang ada sebelum ini cukup bagus. Bukan sahaja melindungi kita, malah ia juga melindungi penjenayah. Ramai yang tidak nampak kebaikan tersebut termasuklah pihak pembangkang.

“Saya ibaratkan polis seumpama lebah. Orang ingat mereka hilang sengat. Seekor lebah jika menyengat, akan jadi bising satu negara, mereka tak ingat jasa beratus-ratus ekor lebah yang memberikan madu kepada mereka,” katanya.

Jelasnya, jangan kerana dua atau tiga orang polis  dikaitkan dengan pelbagai kesalahan termasuk hasutan, desakan atau rasuah, masyarakat terus menyalahkan pasukan itu.
 
"Bukan sahaja Akta Kesalahan Dalam Negeri (ISA), EO dan Akta Buang Negeri 1959. Ini semua perlu. Masalah kita adalah tidak tahu sejarah. ISA untuk menjamin keselamatan. Kali ini (demokrasi) lebih hebat dari zaman Tun Abdul Razak,” katanya.

Pendapat sama turut diakui bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang menyifatkan, bekas tahanan ISA yang dilepaskan memberi bahaya kepada masyarakat.

“Trend kongsi gelap dianggap serius apabila mereka sudah berani mempamerkan diri secara terbuka.

“Disebabkan tiadanya EO, mereka ini bebas berleluasa dalam khalayak. Kebanyakan mereka kembali pada jenayah lampau," katanya.

Beliau berkata, perlunya ada satu akta baru sebelum EO dimansuhkan.

Seorang lagi ahli panel, bekas Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Tan Sri Zaman Khan berkata, beliau juga tidak menolak pemansuhan EO ini memberi kemudahan kepada penjenayah dan kumpulan kongsi gelap untuk terus aktif secara terang-terangan.

“Sebelum EO dimansuhkan, ada ke kongsi gelap berani tampil  buat perarakan kematian, naikkan bendera dan sebagainya. Ini menjadikan negara kita seperti tiada undang-undang," katanya.


Sumber: Sinar Harian
MANSUH ORDINAN DARURAT: CADANG AKTA LEBIH BERKESAN

SHAH ALAM – Pemansuhan Ordinan Darurat (EO) perlu diganti dengan akta baru yang lebih berkesan, namun akta baru tersebut harus seimbang dalam usaha membendung jenayah berat yang kerap berlaku di negara kita.

Bekas Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Noh Omar berkata, pengalaman sebelum ini yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan EO disarankan sekiranya akta baru digubal perlu tukar prosedur baru.

“Dulu polis cadangkan dasar atau aturan baru menteri hanya luluskan dan sekarang ini saya cadangkan kaji lebih teliti penggubalan dan pelaksanaan akta baru agar salah guna kuasa dapat dikurangkan.

“Sebarang kuasa tidak boleh hanya diletakkan kepada individu tertentu kerana undang-undang adalah hak rakyat. Oleh yang demikian, kaji teliti baru laksana,” katanya ketika ditemui, semalam.

Noh turut memaklumkan buat masa ini polis masih berkuasa penuh dalam Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 dan diharapkan dengan taring yang ada dapat menghapuskan jenayah berkaitan dadah secara holistik dan ini sebagai bukti kepada rakyat sengat yang masih ada.

Mengulas lanjut perkara sama, pemilik syarikat kawalan keselamatan yang juga Ketua Wanita Umno Kedah, Datuk Dr Maznah Abdul Hamid berkata, sejak EO dihapuskan ketara kerancakan jenayah walaupun ia membawa keuntungan kepada syarikat keselamatan namun ia mengundang bahaya kepada negara dan rakyat dan perkara ini tidak wajar dibiarkan.

“Saya sarankan kerajaan laksanakan satu akta baru yang berupaya menggantikan EO dan sekali gus dapat mencegah kejadian jenayah berat yang semakin mengancam keselamatan negara, di harapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak terlalu berlembut dalam perkara ini,” katanya.

Seorang konsultan, Samad Rahim, 61, berkata, difahamkan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 akan dikemas kini dan diharapkan undang-baru baru yang diubahsuai ini turut memberi kesan seperti EO namun lebih menjurus kepada check and balance dapat elak tuduhan salah guna kuasa.

“Bagaimanapun jelas ukuran jenayah dapat dinilai selepas penghapusan EO dan diharapkan kerajaan sedar dan prihatin. Ukur apa jadi selepas dihapuskan iaitu result speak it self’,” katanya.


Sumber: Sinar Harian