Showing posts with label Soros. Show all posts
Showing posts with label Soros. Show all posts

Monday, October 8, 2012

Tun M
UNDI PEMBANGKANG SAMA SEPERTI UNDI SOROS


KUALA LUMPUR 7 Okt. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan memberi undi kepada pembangkang sama seperti mengundi George Soros iaitu penyangak mata wang yang kejam.

Beliau menegaskan, Soros menggunakan wang beliau bagi meletakkan calon pilihannya untuk memerintah negara-negara yang disasarkan.

Bagi Malaysia, katanya, Soros memilih pemimpin pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melakukan pertukaran rejim dengan menjatuhkan kerajaan sedia ada.

''Mungkin sesetengah orang masih ingat Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu gemar dengan 'masyarakat sivil' ketika berada dalam kerajaan dan beliau juga masih bercakap tentang perkara itu sekarang. Persamaan idea antara Soros dengan Anwar adalah penting," katanya dalam satu rencana yang ditulis untuk akhbar New Sunday Times hari ini.
Soros

Dr. Mahathir secara jelas menunjukkan pembabitan Soros melalui Open Society Institute dalam menukar pemerintah sesebuah negara seperti yang berlaku di Georgia.

Sebelum ini, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) juga didakwa turut menerima sumbangan daripada Open Society Institute.

Dr. Mahathir turut melontar persoalan mengapa Soros membiayai Malaysiakini, sebuah portal berita propembangkang.

''Jelas sekali, tindakan itu adalah untuk menjayakan perubahan rejim dengan meletakkan calon-calon pilihannya sebagai Perdana Menteri dan menteri-menteri di dalam kerajaan Malaysia.

''Apa yang kerajaan itu akan lakukan nanti ? jika tidak melaksanakan hasrat Soros," katanya.

Tegas beliau, Malaysia adalah salah satu sasaran Soros.

''Sekiranya terdapat rakyat Malaysia yang ingin dijajah semula, itu adalah pilihan mereka. Tetapi saya percaya rakyat Malaysia tidak mahu menjadi tali barut asing," katanya.

Menurut Dr. Mahathir, tindakan Soros itu terbukti berjaya menjatuhkan rejim di Georgia, Ukraine dan Hungary. -UtusanOnline

Tuesday, September 11, 2012


SUARAM: SOROS SALUR RM0.5 JUTA?


KUALA LUMPUR 10 Sept. - Open Society Institute yang diasaskan oleh penyangak mata wang, George Soros menyalurkan dana lebih AS$180,000 (RM558,556.92) kepada Suara Rakyat Malaysia (Suaram) sepanjang tempoh 2007 hingga 2010.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan siasatan, tempoh penerimaan dana tersebut adalah pada 2007, 2008 dan 2010.

"Melalui surat tawaran, Open Society Institute telah menyalurkan dana sebanyak AS$60,000 (RM186,144.11) pada 17 Oktober 2007, AS$68,775.65 (RM213,361.35) (18 Disember 2008), AS$60,000 (RM186,144.11) (12 Februari 2010) kepada Suaram.

"Ketiga-tiga surat tawaran geran dana tersebut telah diterima dan ditandatangani masing-masing oleh Pengarah Eksekutif Suaram, Yap Swee Seng pada tahun 2007 dan 2008 serta Pemangku Pengarahnya, Kua Kia Soong (2010)," katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KadS1M) di Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.

Jelas beliau, Suaram tidak boleh menerima sebarang dana ekoran status mereka yang tidak pernah berdaftar di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Kalau Suaram tidak didaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan, saya nak tanya apa locus standi untuk menerima wang dan menandatangani perjanjian dengan Open Society Institute?

"Jika mereka memberi alasan bahawa Suaram di bawah Suara Inisiatif Sdn. Bhd. (Suara Inisiatif), maka yang boleh menandatangani adalah Suara Inisiatif bukan Suaram," katanya.

Menurut beliau, dalam surat tawaran geran dana berkenaan juga menyatakan Suaram dikehendaki menghantar laporan perbelanjaan serta aktiviti yang dijalankan menggunakan dana berkenaan kepada yayasan tersebut.

"Kalau benar yayasan George Soros terlibat, ia sesuatu perkara yang malang bagi kita, sebab dia dikenali sebagai individu yang mensabotaj ekonomi Malaysia.

"Lebih menghairankan bagaimana satu pertubuhan dalam negara boleh bersekongkol dengan individu yang merosakkan ekonomi kita," katanya.

Tambah Ismail Sabri, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan mengadakan mesyuarat dengan Bank Negara dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan pada Rabu ini untuk proses siasatan selanjutnya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Ismail Sabri menyerahkan sejumlah 22,500 Kad KADS1M kepada pelajar UM yang membolehkan pemilik kad menikmati diskaun antara 10 dan 60 peratus untuk barangan terpilih.

Ismail Sabri menjangkakan proses pengedaran KADS1M kepada semua 1.5 juta pelajar IPT awam dan swasta selesai sebelum Oktober ini.

"UM merupakan universiti kelima menerima KADS1M dan bagi pelajar UM yang baru mendaftar minggu lepas, mereka akan menerima kad itu pada September juga," katanya. –Utusan Online