Monday, June 4, 2012

DR M: KEBEBASAN INTERNET PERLU ADA BATASNYA

KUALA LUMPUR, 3 Jun — Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Putrajaya supaya memikirkan kembali berkenaan kebebasan Internet, yang mana sebelum ini beliau berkata Internet tidak perlu disekat.

Mantan perdana menteri itu berkata, kerajaan perlu dibenarkan mencari jalan menapis kekotoran yang masuk melalui internet dan mengambil tindakan.

“Negara perlu dibenarkan menapis segala kekotoran yang masuk melalui Internet. Sudah tentunya jika boleh ada kawalan ia baik.

“Tetapi jika peraturan itu dilanggar, perlu ada kuasa untuk menguatkuasa dan menghukum,” katanya.

Beliau yang berkhidmat sebagai perdana menteri selama dua dekad hingga tahun 2003 sebelum ini berkata, Malaysia tidak akan mengadakan sekatan terhadap Internet sebagai sebahagian usaha kerajaan pimpinannya pada masa itu membangunkan Multimedia Super Corridor.

Beliau turut mengulangi kenyataan sama pada Sidang Kemuncak Tahunan Ketiga Pemimpin Pelajar Malaysia pada Ogos tahun lalu, walaupun mencadangkan tindakan disiplin dikenakan terhadap pesalah Internet.

“Sebagai contoh, terlalu banyak keganasan yang divetuskan oleh Internet.

“Untuk itu, saya rasa kita ada hak untuk mengharamkan, tapi, saya rasa dari segi politiknya, jika tidak berlaku perkara itu, ia tidak perlu ditapis,” katanya sebelum ini dipetik Bernama.

Bagaimanapun, perdana menteri yang pernah memerintah negara ini selama 22 tahun dan masih lagi berpengaruh berkata, beliau pada ketika itu tidak menyedari keupayaan sebenar Internet.

“Apabila saya katakan tidak perlu ada penapisan Internet, saya benar-benar tidak menyedari kuasa Internet, kuasa untuk menurunkan nilai moral, menimbulkan masalah, dan kemarahan.

“Oleh itu, kita perlu memikirkan semula kebebasan mutlak yang diberikan kepada Internet,” katanya.


Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/

No comments:

Post a Comment