Wednesday, June 20, 2012

SERAGAM SISTEM KESELAMATAN DAN KAEDAH PENCEGAHAN KESALAHAN ICT - RAIS

SINGAPURA - Malaysia mencadangkan agar satu sistem keselamatan dan kaedah pencegahan kesalahan berhubung teknologi maklumat diseragamkan bagi menjamin kesahihan dan pelaksanaan undang-undang berkaitan ICT, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Menurut beliau yang kini menghadiri Forum Menteri-Menteri Teknologi Maklumat dan Komunikasi di Marina Bay Sands Convention Centre, forum itu yang turut melibatkan beberapa taraf antarabangsa berhubung dengan telekomunikasi dan industri serta isu-isu yang terlibat mengenainya adalah sesuatu yang dilakukan mengikut musim.

Katanya Malaysia telah mengambil bahagian bersama dengan negara-negara lain beberapa kali dan isu penting bagi Malaysia pada kali ini ialah bagaimana hal-hal berkaitan dengan keselamatan di negara masing-masing dapat diseragamkan daripada segi nilai serta amalan preventifnya untuk menjaga kesahihan dan juga kedaulatan negara.

"Saya sebutkan kesahihan itu sebab banyak pihak tidak sahih pendirian mereka. Mereka menganggap bahawa internet, komputer serta teknologi telekomunikasi menerusi komputer adalah soal yang bebas daripada perundangan ataupun keselamatan negara masing-masing. Jadi kami datang dengan rombongan untuk bersama-sama mendebatkan perkara ini, setakat mana kita harus mulai kini mengambil perhatian berat terhadap soal-soal keselamatan termasuk juga kedaulatan undang-undang negara masing-masing".

Katanya, perkembangan terbaru di dunia luar sana bahawa negara-negara maju sudah mempunyai beberapa langkah utama untuk meneliti isu ini supaya masa depan industri ini dapat dijamin.

Tetapi, katanya pada masa yang sama kedaulatan keselamatan itu dapat juga disaring dan dipastikan supaya berfaedah dan membantu negara masing-masing.

"Selain daripada itu juga, kami di sini melihat perkembangan baru dalam industri telekomunikasi termasuk elektroniknya dan peralatannya, di samping sedikit sebanyak pavilion Malaysia yang kita dirikan itu dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama telco atau syarikat-syarikat telekomunikasi di situ, kita lihat kita akan menjana fikiran dan pandangan baru bagaimana kita boleh bekerjasama serantau dan mendapatkan imbuhan baru idea serta perkembangan baru untuk memperbaiki lagi prestasi Malaysia dalam sektor tersebut".

Rais juga berkata, "Kita sangat berbangga oleh kerana sektor industri telekomunikasi secara keseluruhan di Malaysia melebihi RM40 bilion setahun dan sedang meningkat.

"Oleh itu jendela-jendela baru tentang idea serta produk perlu kita ambil berat dan kami pun mengambil perhatian yang khusus supaya dalam dua hari ini kita dapat meningkatkan lagi kerjasama serantau, sedunia dan meletakkan Malaysia di tahap yang boleh dibanggakan". - http://www.rtm.gov.my/


KD:Keselamatan ICT merangkumi perlindungan ke atas semua bentuk maklumat elektronik bertujuan untuk menjamin kerahsiaan, integriti, kesahihan dan kebolehsediaan kepada semua pengguna yang dibenarkan. Memandangkan maklumat adalah merupakan hasil terakhir sesuatu sistem pengkomputeran, bermaksud  ianya amat penting dan bernilai bagi sesebuah organisasi. Kehilangan atau kemusnahan data/maklumat yang disimpan di dalam komputer sering berlaku disebabkan oleh kejadian seperti kebakaran, pengkhianatan, kecuaian dan kecurian. Bagi mengatasi masalah ini, kawalan ke atas capaian data/ maklumat dan keselamatan fizikal perlu diperketatkan. 

No comments:

Post a Comment