Wednesday, June 20, 2012

MCA MAHU PEKERJA DIBERI PILIHAN KELUAR CARUMAN 55 TAHUN

MCA mahu pekerja sektor swasta diberi pilihan mengeluarkan simpanan mereka dalam Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) apabila mencapai usia 55 tahun sekiranya usia persaraan dilanjutkan kepada 60 tahun, kata presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau berkata, ini kerana ada pekerja memerlukan wang simpanan mereka untuk memenuhi keperluan mendesak seperti membiayai pendidikan anak dan penjagaan kesihatan ibu bapa, manakala ada pula yang berpendapat mereka wajar dibenar membuat pilihan mengenai masa untuk mengeluarkan simpanan masing-masing.
   
“KWSP perlu melihat undang-undangnya yang sedia ada, tapi sebagai parti politik, pendirian kami ialah mereka (pekerja) perlu diberi pilihan mengeluarkannya pada usia 55 tahun,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA di ibunegara semalam.

Dr Chua berkata MCA menyokong umur persaraan ditetapkan pada 60 tahun, tetapi pelaksanaannya mestilah tidak menjejaskan golongan muda yang memasuki pasaran kerja.
   
“Undang-undang Malaysia perlu disemak semula agar lebih fleksibel. Selepas berumur 55 tahun, peluang patut diberi sama ada hendak menyambung atau sebaliknya,” katanya.

Beliau juga berkata MCA tidak mahu Kementerian Sumber Manusia mewujudkan sebarang bentuk inisiatif baru kerana pelaksanaan gaji minimum dan umur persaraan minimum baru perlu ditangani terlebih dahulu.
   
“Kami menentang inisiatif seperti skim pencen sepanjang hayat untuk pekerja sektor swasta dan skim insurans pengangguran. Kami berpendapat ini tidak perlu dilaksnakaan sekarang kerana pelaksanaan gaji minimum dan umur persaraan minimum perlu dipantau dulu,” katanya.

- Bernama / http://www.mca.org.my


KD: Sepatutnya dibolehkan pada pengeluaran wang KWSP akaun 2 umur 50 tahun manakala pengeluaran wang KWSP secara keseluruhannya dibuka pada umur 55 tahun. Baki 5 tahun perkhidmatan lagi, sementara menunggu usia berhenti wajib, gaji bayar penuh, majikan juga dapat juga faedahnya dengan tidak perlu membuat potongan. Ia lebih relevan.


No comments:

Post a Comment